Kematian anak kecil, apa tindakan kita?

0
107

MALANG tidak berbau. Itulah ungkapan yang sering disebut masyarakat kita setiap kali ditimpa gerah atau kemalangan.

Tidak salah untuk berserah kepada takdir tetapi satu perkara yang perlu kita akui adalah kemalangan banyak berpunca daripada kecuaian, tidak kira sama ada puncanya kita sendiri atau orang lain.

Lebih malang lagi jika kemalangan yang berlaku itu melibatkan nyawa anak-anak kecil.

Saban hari juga, kita didedahkan dengan bermacam-macam berita kemalangan yang meragut nyawa dan menyebabkan kecederaan kanak-kanak akibat kealpaan kita orang dewasa.

Kes bayi mati tersedak susu, mati kerana ditinggalkan lama dalam kenderaan, lemas dalam bilik mandi, tercucuk objek tajam, dilanggar ibu bapa sendiri dan seribu satu lagi tragedi.

Berita-berita sedih dan memilukan ini seolah-olah tidak memberi pengajaran kepada kita ibu bapa dalam menjaga keselamatan anak-anak.

Walaupun kemalangan boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, sampai bila kita mahu berserah dan pada akhirnya sekadar menyalahkan takdir.

Sedangkan jumlah kemalangan membabitkan kanak-kanak di negara ini semakin bertambah dan membimbangkan.

Tidak kira di mana sahaja, kanak-kanak pada hari ini berdepan dengan pelbagai risiko yang boleh mengakibatkan kemalangan apatah lagi jika dibiarkan tanpa pengawasan orang dewasa.

Di rumah misalnya, masih ramai ibu bapa yang tidak peka pada persekitaran dan kewujudan objek yang boleh mendatangkan bahaya seperti alat permainan, kelengkapan rumah, perkasasan elektrik dan keadaan rumah itu sendiri.

Hal ini berlaku kerana masih tiada kesedaran dalam diri ibu bapa untuk meletakkan aspek keselamatan sebagai keperluan paling utama khususnya bagi yang beranak kecil.

Sedangkan kepekaan dan kebolehan meramal risiko yang bakal menimpa kanak-kanak tidak memerlukan modal atau usaha yang sukar. Cukup sekadar sentiasa beringat dan menggunakan common sense.

Namun masih ramai yang memandang remeh perkara ini seolah-olah pada mereka kemalangan hanya berlaku kepada orang lain dan tidak ada banyak yang boleh dilakukan untuk mencegahnya.

Lebih menyedihkan apabila pengabaian aspek keselamatan kanak-kanak itu dilakukan tanpa rasa bersalah walaupun pelbagai kempen kesedaran telah dilakukan.

Lihat sahaja isu pematuhan pemakaian kerusi keselamatan kanak-kanak. Jangan kata mahu berusaha untuk memberikan perlindungan terbaik untuk anak-anak di dalam kenderaan, di mana-mana pun, masih ramai yang memandu sambil meriba anak.

Itu belum mengambil kira tindakan ibu bapa meninggalkan anak bersendirian di rumah, meletakkan anak di bawah jagaan orang kurang dikenali, membiarkan anak-anak bermain di luar rumah tanpa pengawasan dan mendedahkan diri kepada penjenayah.

Senario ini pada pendapat penulis berlaku tidak lain tidak bukan adalah kerana kita masih lemah dalam aspek pencegahan dan bersikap sombong kepada teguran dan nasihat yang diberikan pihak lain.

Hal itu menjadi lebih serius dalam kalangan ibu bapa yang sentiasa sibuk dengan kerjaya sehingga menjejaskan ketelitian dalam pengurusan keluarga.

Selain daripada itu, dalam sesetengah kes, masalah ini juga berkait rapat dengan isu kesihatan mental yang dihadapi penjaga atau ibu bapa.

Golongan yang tidak menjalani kehidupan yang teratur misalnya mempunyai kecenderungan untuk melakukan pengabaian terhadap anak-anak kerana tidak mempunyai keakraban emosi sesama ahli keluarga.

Penulis merasakan sudah sampai masanya kerajaan menggandakan kempen-kempen keselamatan kanak-kanak ini khususnya melalui khidmat pesanan awam di saluran media utama.

Selain media, agensi dan badan-badan yang berkenaan juga perlu tampil ke depan untuk memastikan mesej yang sepatutnya sampai ke telinga dan hati rakyat negara ini.

Sebagai jaminan hak, kerajaan juga perlu melihat semula keberkesanan akta-akta yang berkaitan khususnya dalam memberi hukuman dan pengajaran kepada penjaga yang cuai dan mengabaikan penjagaan kanak-kanak.

Namun pokok pangkalnya, masalah ini tidak akan dapat diselesaikan sekiranya tahap kesedaran kita masih di takuk lama.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here