Kembali kepada sistem Islam, selamatkan masa depan anak cucu

0
423

RAUDHAH CITY- Hanya dengan kembali kepada sistem Islam sepenuhnya dapat menyelamatkan diri kita dari situasi ekonomi yang membahayakan masa depan anak cucu kelak.

Pengasas Malakat Mall, Mohd. Fadzil Hashim berkata, sebagai orang Islam, semua pihak wajib kembali kepada formula penyelesaiaan yang telah ditunjukkan oleh nabi Muhammad SAW.

“Ada segelintir yang berasakan situasi mereka tidaklah terlalu teruk. Kita masih boleh beli rumah, kereta, membeli belah dan melancong. Pendapatan bulanan pun dah cukup untuk hidup selesa.

“Kepada mereka ini, sedarlah yang kita nampak ‘okey’ sebab negara kita memberi kita kemudahan mendapatkan pembiayaan bank bagi tujuan di atas.

“Memang nampak macam ‘okey’ tetapi hakikatnya mereka yang nampak sangat kaya sebenarnya mempunyai hutang riiba yang sangat banyak,” katanya dalam surat terbuka kepada pengguna Islam.

Menurut Mohd. Fadzil, riba yang diisytihar perang oleh Allah kepada mereka yang terlibat merupakan punca utama masalah ekonomi dunia yang menyaksikan kegagalan demi kegagalan sistem pengagihan kekayaan dunia.

“Lapan orang terkaya dunia mempunyai aset bersamaan dengan 3.6 bilion populasi dunia, sedangkan lebih 600 juta manusia tidak mempunyai tempat tinggal, lebih 400 juta pula tidak mendapat akses air bersih dan hampir 19,000 anak-anak yang berumur bawah 5 tahun, mati setiap hari.

“Alhamdulillah, berkat doa para ulama dan pejuang-pejuang Islam yang bertungkus lumus untuk kembali kepada ajaran Islam yang sebenar, saya mendapat ilham, formula dan kini platform untuk kita mengubah nasib kita sekarang dan inshaAllah nasib anak cucu kita di masa akan datang.

“Pada tahun lalu, saya telah melancarkan program kesedaran ‘Ayuh Bangkit’ bagi mencetus kebangkitan untuk membina ekosistem ekonomi Islam yang baharu. Alhamdulillah, di siri ketiga, saya mendapat kefahaman tentang ibrah dari hijrah Rasullullah SAW,” katanya.

Selain itu katanya, selama 13 tahun nabi berjuang di Mekah, baginda berusaha untuk menanamkan asas akidah yang kukuh kepada sahabat-sahabatnya.

“Peristiwa hijrah sebenarnya boleh kita ambil pengajarannya dan diaplikasikan di waktu sekarang. Keadaan kita hari ini hampir serupa walaupun tidak sama.

“Islam hari ini kebanyakannya diamalkan hanya dalam ibadah khusus. Di luar ibadah, kita sebenarnya tidak mengamalkan cara hidup Islam yang sebenar. Dalam peristiwa hijrah banyak yang boleh kita teladani,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd, Fadzil berkata, beliau juga mendapat ilham daripada peristiwa itu untuk mewujudkan Malakat Mall yang terbuka dan memberi peluang kepada usahawan Muslim memasarkan produk mereka dengan mudah.

“Malakat adalah nama yang diberi oleh pedagang Arab kepada Melaka di zaman kesultanan Melayu abad ke-14 di mana ketika itu Melaka merupakan antara bandar terkaya di dunia.

“Itulah asal nama Malakat Mall yang berusaha menjadikan Malakat Mall sebagai Kapal Perang Ekonomi persis Kapal Hang Tuah ‘Mendam Berahi’ (merdeka dari dendam, berani kerana ilahi),” katanya.

Dalam pada itu katanya, oleh kerana kos untuk membina pasar besar agak tinggi, beliau meminta pasukannya mencari ‘dead mall’ atau pun pasar mati.

“Rupa-rupanya terdapat lebih 100 pasar mati di negara kita, saya memilih pasar mati agar kita tidak perlu berbelanja tinggi untuk memulakan ‘mall’ kita sendiri.

“Bagaimanapun membuka ‘shopping mall’ sememangnya memerlukan modal yang sangat tinggi. Saya berusaha mendapatkan sokongan kepada usahawan Muslim yang sudah berjaya untuk bersama dalam perjuangan ini dengan menawarkan mereka berniaga di dalam Malakat Mall.

“Tetapi mungkin kerana menjangkakan ianya sangat sukar untuk dilaksanakan tiada satu pun yang sedia untuk bersama kami. Kita tidak menyalahkan mereka kerana sememangnya kalau fikir logik, memang agak sukar untuk percaya yang kita mampu buka pasar kita sendiri.

“Jadi kami tiada pilihan selain terpaksa membangunkan beberapa jenama yang menawarkan pelbagai keperluan masyarakat secara sendiri. Kerja yang sangat mencabar ini menjadi ringan apabila kita menerima permohonan pekerjaan daripada orang kita yang berada di dalam perniagaan syarikat luar.

“Mereka memohon untuk berjuang bersama-sama kerana mempercayai misi penting kebangkitan baru ekonomi Islam yang kita mulakan. Barisan kepimpinan daripada jenama antarabangsa melengkapkan pasukan kami,” katanya.

Menurut Mohd. Fadzil, kempen BMF yang diperhebatkan oleh PPIM, Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (Pembela) dan ratusan NGO Islam yang lain membina suatu momentum yang sangat hebat selepas idea Malakat Mall dipersembahkan kepada masyarakat umum.

“Malakat Mall menyasarkan untuk mengambil alih 100 pasar mati dalam tempoh 10 tahun. Insya-Allah dengan sokongan saudara dan rakan-rakan lain, kita akan mampu mengambil alih 50 peratus dari syer pasaran yang kini dikuasai oleh syarikat asing.

“Nilai RM30 Billion ini sebenarnya hanya di peringkat runcit sahaja. Jumlah di rantaian pembekalan sebenarnya bernilai lebih RM100 Billion. Ini akan membuka ruang dan peluang usahawan Muslim mewujudkan pekerjaan berpendapatan tinggi kepada lebih satu juta pengguna Muslim,” katanya-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here