Kementerian Kewangan era PH pun buat proses rundingan terus

0
154
Datuk Seri Tengku Zafrul

CYBERJAYA – Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli ketika era pentadbiran Pakatan Harapan (PH) menjadi kementerian yang paling banyak melaksanakan proses rundingan terus dengan jumlah keseluruhan 13 projek dengan nilai RM5.67 bilion.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz berkata, ia diikuti Kementerian Komunikasi dan Multimedia dengan 12 projek yang bernilai RM380.12 juta dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dengan sembilan projek bernilai RM10.36 juta.

Beliau berkata, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan Kementerian Dalam Negeri pula masing masing-masing merekodkan sebanyak lapan projek rundingan terus yang bernilai RM6.15 juta dan RM517.68 juta.

Bagaimanapun, dari segi nilai terbanyak, Kementerian Pengangkutan memperoleh empat projek dengan nilai berjumlah RM4.47 bilion.

“Dalam beberapa hari yang lalu, terdapat permintaan dibangkitkan berkaitan perkongsian senarai 101 maklumat projek yang telah diluluskan melalui proses rundingan terus.

“Atas dasar mendokong urus tadbir yang baik dan ketelusan pentadbiran, senarai ini dipaparkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, katanya, kementerian lain yang turut melakukan rundingan terus ialah Kementerian Pendidikan (tujuh projek dengan nilai RM87.49 juta); Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (tujuh projek dengan nilai RM8.46 juta); Kementerian Pertahanan (enam projek bernilai RM900.86 juta) dan Jabatan Perdana Menteri (lima projek dengan nilai RM8.18 juta).

Turut disenaraikan ialah Kementerian Kewangan (empat projek bernilai RM9.03 juta); Kementerian Hal Ehwal Ekonomi (empat projek bernilai RM1.17 juta); Kementerian Kesihatan (empat projek bernilai RM10.87 juta); Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (dua projek dengan nilai RM170.79 juta); Kementerian Pembangunan Luar Bandar (dua projek bernilai RM7.36 juta) dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (dua projek dengan nilai RM570,000).

Sementara itu, Kementerian Belia dan Sukan; Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat; Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna serta Kementerian Wilayah Persekutuan masing-masing memohon satu projek untuk rundingan terus.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here