Kenapa tiada tangkapan terhadap tauke judi dan pemilik premis- Jamal

0
499
Gambar Utusan Malaysia

CYBERJAYA- Kenapa tiada tangkapan tauke judi dan pemilik premis walaupun banyak operasi bersepadu dijalankan oleh pihak berkuasa?, itu yang menjadi persoalan ramai sekarang.

Ketua UMNO Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md. Yunos  berkata, beliau bersedia untuk membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) membanteras kegiatan perjudian di sekitar Selangor.

Jamal berkata, pihaknya mendapati kini banyak operasi bersepadu giat dijalankan, bagaimanapun tiada tangkapan melibatkan tauke perjudian serta pemilik-pemilik premis.

“Persoalannya, mereka tahu premis yang digempur itu adalah pusat judi tetapi di mana taukenya, operator serta pemilik premis yang terlibat? Sehingga kini tiada yang didakwa.

“Jadi saya harap dapat bertemu Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador serta bersedia memberi tunjuk ajar kepada PDRM untuk menyelesaikan masalah judi haram di sekitar negeri Selangor dengan pengalaman yang saya ada,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman kira-kira pukul 3.30 petang tadi yang turut dilaporkan pelbagai media cetak dan elektronik tempatan.

Dalam pada itu, Jamal turut menggesa polis membuka kembali siasatan pusat-pusat perjudian yang digempur beliau di sekitar Ampang, Selangor pada tahun 2016 sehingga beliau dituduh dan didakwa di mahkamah atas kesalahan samun berkumpulan iaitu Seksyen 395 Kanun Keseksaan. 

Katanya, gesaan berkenaan bukan kerana tidak berpuas hati tindakan yang diambil terhadapnya namun beliau mendapati semakin banyak premis-premis perjudian yang dibuka atas ‘lesen’ pusat hiburan keluarga.

“Saya merasakan dizalimi ketika itu walhal ada tinjauan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mendapati terdapat kira-kira 5,000 premis judi di sekitar Selangor.

“Tindakan berkenaan menjadi tanggungjawab saya sebagai orang awam untuk mendedahkan kegiatan itu, jadi saya harap polis boleh buka kembali kertas siasatan,” ujarnya.

Dalam pada  itu, Timbalan Pengarah (Siasatan dan Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah, Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid mengesahkan kehadiran Jamal ke Bukit Aman kira-kira pukul 5 petang.

“Jamal hadir bagi memberi keterangan kepada pihak Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman dan kes disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Seksyen 500 Kanun Keseksaan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here