Kerajaan komited bawa Malaysia kembali kepada keadaan normal

0
129

CYBERJAYA- Kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kekal komited untuk membawa Malaysia kembali kepada keadaan normal selepas terjejas ekoran penularan pandemik Covid-19.

Muhyiddin melafazkan ikrar itu pada Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2020 bersempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong di Istana Melawati, di Putrajaya hari ini.

Menurut Muhyiddin perjuangan memerangi Covid-19 masih belum berakhir dan fasa pemulihan juga turut bergantung kepada kesedaran, sikap dan amalan setiap rakyat di negara ini.

“Kerajaan akan terus berusaha membendung wabak ini di samping menggesa rakyat menerap kebiasaan baharu termasuk mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dalam kehidupan harian,” katanya seperti dilaporkan Bernama.

Muhyiddin berkata, kawalan di pintu masuk negara akan terus diperketatkan dan kerajaan juga mendahului usaha dan kerjasama dengan negara lain untuk memperoleh vaksin Covid-19.

“Patik bersama anggota pentadbiran negara komited untuk membawa negara kembali kepada keadaan normal, rakyat bebas bergerak, perindustrian dan perniagaan berjalan dengan lancar, hasil pertanian dan komoditi dapat dituai dan dijual, anak-anak kembali ke sekolah atau universiti untuk belajar, aktiviti sukan dan riadah dapat dilaksanakan dan sebagainya,” katanya.

Untuk tujuan itu, beliau berkata, kerajaan akan memberi tumpuan kepada pelaksanaan program serta projek yang akan membawa kebaikan kepada rakyat dan negara.

“Program bagi meningkatkan lagi peluang pekerjaan, kebolehpasaran graduan dan mengutamakan rakyat tempatan akan terus dipertingkatkan,” katanya.

Pada masa sama, Muhyiddin berkata, keselamatan negara daripada ancaman sama ada dari dalam mahupun luar juga akan terus diperkukuh, selaras dengan titah Seri Paduka berkenaan betapa penting kedaulatan pertiwi terus dijaga.

“Tidak ketinggalan juga kerajaan ke bawah duli Tuanku akan meneruskan agenda memperkasakan integriti dan tadbir urus di semua peringkat pentadbiran termasuk dalam kalangan rakyat,” katanya.

Bagi merancakkan semula ekonomi negara, beliau berkata inisiatif Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan PRIHATIN Tambahan serta Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang berjumlah RM295 bilion, bersamaan 17 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara telah diperkenalkan yang memberi manfaat kepada sebahagian besar rakyat.

“Jumlah pakej rangsangan ekonomi itu adalah antara yang tertinggi di dunia dan paling tinggi dalam kalangan negara sedang membangun.

“Dianggarkan pakej rangsangan itu mampu menyumbang lebih kurang tiga peratus daripada KDNK negara pada tahun ini,” katanya.

Menurutnya, sejak sektor ekonomi dibuka semula pada Jun lalu, seramai 15.7 juta pekerja kembali bekerja.

“Ekonomi negara kita sudah mula rancak dan Insya-Allah dengan usaha dan sokongan semua pihak, ekonomi negara dapat pulih dengan lebih cepat,” katanya.

Beliau berkata, semua kementerian dan jabatan juga diminta melihat semula undang-undang, peraturan dan SOP masing-masing bagi menyediakan perkhidmatan yang cekap dan pantas terutama di era pasca-COVID-19 yang memerlukan pentadbiran kerajaan yang pantas dan responsif. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here