Kes bunuh pensyarah UIAM dianggap selesai

0
1264

CYBERJAYA – Kes pembunuhan pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang mayatnya ditemukan di dalam sebuah kereta di tepi tasik di Cyberjaya pada Khamis lalu dianggap selesai.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin yang berkata, motif pembunuhan Prof Madya Dr Maizatulnisa Othman, 40, itu sudah dikenal pasti namun siasatan bagi kes itu kini masih diteruskan.

Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah KLIA di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi pada 30 Julai lalu, mangsa yang merupakan isteri kepada suspek ditemukan mati di dalam sebuah kenderaan berhampiran tasik Taman Putra Perdana di Puchong.

Kejadian dipercayai berlaku di Taman Mas, Putra Perdana pada Rabu lepas dan media melaporkan motif pembunuhan disebabkan suspek tidak dapat menerima hakikat isterinya memfailkan pengesahan penceraian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sepang ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof ketika ditemui pada majlis yang sama berkata, suspek dikatakan berpura-pura mencari isterinya ditemani anak perempuan mereka menggunakan perkhidmatan e-hailing selepas dipercayai membunuh wanita itu secara menjerutnya dengan tudung yang dipakai mangsa.

Namun siasatan mendapati suspek membuat tempahan perkhidmatan e-hailing untuk terus ke lokasi mangsa ditemui.

“Suspek berkata dia mencari isterinya yang tidak pulang, itu menimbulkan keraguan apabila Grab Car yang ditempahnya terus ke lokasi kejadian, sedangkan kalau kita mencari orang hilang, kita akan cari di merata tempat,” katanya.

Mengulas lanjut, Wan Kamarul Azran berkata, polis telah mengambil keterangan anak perempuan mereka dan akan memanggil beberapa individu lain termasuk seorang wanita yang dikaitkan dengan suspek bagi diambil keterangan untuk membantu siasatan kes.

Lelaki itu direman sehingga Khamis ini dan Wan Kamarul Azran tidak menolak polis akan memohon lanjutan perintah reman terhadap suspek yang juga seorang sukarelawan sebuah badan bukan kerajaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here