KKM sahkan wujud mutasi virus Covid-19 dalam negara

0
225

CYBERJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) menggesa orang ramai supaya lebih berhati-hati terhadap risiko jangkitan Covid-19 ekoran pengesanan virus jenis mutasi iaitu D614G.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, hasil ujian Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) telah mengesan mutasi hasil daripada ujian pengasingan dan kultur terhadap tiga kes daripada kluster pesakit bawah siasatan (PUI) Sivagangga dan juga satu kes daripada Kluster Ulu Tiram.

“Ia didapati 10 kali lebih mudah menjangkiti individu lain dan mudah merebak sekiranya disebar oleh individu super spreader.

“Setakat ini kedua-dua kluster ini didapati agak terkawal hasil tindakan kawalan kesihatan awam yang pantas.

“Ujian awal ini dan beberapa ujian susulan sedang dijalankan bagi menguji beberapa kes lain, termasuk bagi kes indeks kedua-dua kluster ini,” katanya dalam kenyataan menerusi laman Facebook beliau, Ahad.

Sehubungan itu katanya, masyarakat perlu berwaspada dan lebih berhati-hati kerana virus Covid-19 dengan mutasi D614G ini terbukti dikesan di Malaysia.

Mengulas lanjut, katanya mutasi D614G ditemui saintis pada Julai 2020 dan berkemungkinan akan menyebabkan kajian vaksin sedia ada tidak merangkumi atau tidak berkesan terhadap mutasi ini.

Oleh itu, Dr. Noor Hisham menyeru agar orang ramai terus mengamalkan tindakan pencegahan dan kawalan kendiri kesihatan selain mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Situasi terkini Covid-19 didapati masih terkawal dan KKM serta agensi lain masih berusaha membendung penularan Covid-19.

“Kerjasama masyarakat amat diperlukan agar dapat kita sama-sama memutuskan penularan jangkitan Covid-19 daripada segala jenis mutasi sekalipun,” jelasnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here