Kluster Sivagangga: PKPD di empat mukim di Kedah bermula hari ini

0
332
Gambar hiasan

CYBERJAYA – Kerajaan meluluskan permohonan kerajaan negeri Kedah untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) secara pentadbiran di empat mukim di negeri itu bermula hari ini sehingga 30 Ogos hadapan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu diluluskan dalam Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan PKP hari ini.

“Mengambil kira 11 kes baru yang berpunca daripada kluster Sivagangga yang melibatkan empat mukim, kerajaan negeri telah memohon untuk melaksanakan PKPD secara pentadbiran di radius satu kilometer daripada Restoran Nasi Kandar Salleh, Pekan Napoh, Mukim Hosba, Kubang Pasu; Kampung Pida Satu, Megat Dewa Mukim Ah, Kubang Pasu; Kampung Bendang Dalam, Mukim Binjal, Kubang Pasu.

“Selain itu, turut terlibat ialah Kampung Ulu, Padang Sanai di Padang Terap,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Beliau berkata, pelaksanaan PKPD secara pentadbiran akan mengguna pakai prosedur operasi standard (SOP) sedia ada dengan tambahan sekatan jalan raya di setiap laluan keluar masuk dan penutupan beberapa jalan utama sekitar.

Katanya, petugas Kementerian Kesihatan akan membuat ujian saringan keatas kira-kira 7,000 penduduk di kawasan yang terlibat.

“Kawasan masjid dan rumah ibadat di dalam kawasan tersebut turut ditutup bagi aktiviti keagamaan termasuk solat Jumaat.

“Jemaah dibenarkan seramai tiga orang untuk melaksanakan solat jemaah di masjid tersebut,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here