
CYBERJAYA – Jangkitan kes Covid-19 melibatkan kluster Tawar terus mencatatkan perkembangan membimbangkan apabila tiga kes baharu dilaporkan hari ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pertambahan kes baharu itu menjadikan secara keseluruhan 73 kes dilaporkan melibatkan kluster Tawar.
“Sehingga jam 12 tengah hari tadi, seramai 4,051 orang telah disaring dalam kluster ini.
“Sebanyak 3,514 orang disaring di Kedah dan daripada jumlah itu 62 kes dikesan positif, 2,884 individu negatif dan 568 orang masih menunggu keputusan.
“Manakala di Pulau Pinang pula 526 orang telah disaring dan daripada jumlah ini 11 kes dikesan positif, 513 individu negatif dan dua individu masih menunggu keputusan. Di Perak pula kekal 11 kes saringan dan tiada yang positif,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Hari ini sebanyak enam kes baharu Covid-19 dilaporkan yang mana tiga kes melibatkan kluster Tawar.

Selain itu, dua kes lain juga dilaporkan di Kedah tetapi melibatkan satu kes saringan bergejala dan satu kes pesakit jangkitan pernafasan akut teruk (SARI).
Dalam pada itu, satu kes lagi pula merupakan kes import melibatkan warganegara Singapura yang dilaporkan di Selangor.
Sementara itu Dr. Noor Hisham berkata, pihaknya telah menjalankan pelbagai intervensi kesihatan awam termasuk aktiviti-aktiviti pencegahan penularan jangkitan Covid-19 berikutan 85 peratus kes positif daripada kluster tersebut melibatkan negeri Kedah. -MT