
CYBERJAYA – Pihak berkuasa Korea Selatan sedang giat mengesan 12,000 peserta sebuah perhimpunan politik yang diadakan minggu lepas supaya dapat menjalani ujian Covid-19.
Memetik laporan Reuters, Timbalan Menteri Kesihatan Kim Gang-lip dilaporkan sebagai berkata, usaha pengesanan ini perlu dilakukan kerana perhimpunan tersebut turut dihadiri oleh individu yang mempunyai kaitan dengan kluster Kuil Sarang Jeil.
“Situasi ini amat serius,” kata Gang-lip dalam satu sidang akhbar malam tadi (waktu tempatan).
Setakat ini, pihak berkuasa kesihatan dan pihak polis telah memperoleh data lokasi telefon pintar para peserta perhimpunan tersebut, dan dalam masa yang sama cuba meyakinkan pihak kuil tersebut supaya menyerahkan senarai nama penuh ahlinya.
Setakat semalam, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (KCDC) melaporkan sebanyak 324 kes positif baharu Covid-19 dikesan di negara tersebut.
Angka ini menjadikan jumlah keselruhan kes yang dilaporkan kepada 16,670, dengan 309 kematian.
Angka ini merupakan bilangan kes baharu tertinggi direkodkan dalam sehari sejak 8 Mac.