
CYBERJAYA – Satu laporan polis akan dibuat berhubung mesej tular palsu yang mengaitkan kematian bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Pegawai Khas Tun Abdullah, Datuk Jefridin Atan berkata, beliau sendiri akan membuat laporan berkenaan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya.
“Saya memandang serius berkenaan mesej tular berkenaan dan akan menghadirkan diri untuk membuat laporan polis pagi esok di IPD Putrajaya.
“Perkara ini tidak boleh dibiarkan, mesej tular palsu ini adalah fitnah semata-mata dan menyusahkan rakyat. Sepatutnya rakyat memohon doa agar Pak Lah panjang umur dan sihat sejahtera di samping keluarga,” katanya seperti dilaporkan Bernama.
Sebelum ni tular mesej palsu yang mengatakan Pak Lah meninggal dunia bagaimanapun, mesej berkenaan dinafikan oleh ahli keluarga dan pegawai bekas Perdana Menteri itu.