Lelaki Perancis bergelang pink dihantar ke pusat kuarantin

0
314
Gelang pink yang dipakai lelaki Perancis tersebut

CYBERJAYA – Keistimewaan yang diberikan kepada seorang warganegara Perancis ‘bergelang pink’ untuk menjalani kuarantin di rumahnya di Langkawi ditarik balik serta merta.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, lelaki itu termasuk dalam program My Second Home Program (MM2H) dan pada awalnya diberi kelonggaran semasa memohon atas talian untuk menjalani kuarantin di kediamannya berdasarkan kepada syarat yang dikeluarkan pada 25 Jun lalu.

Bagaimanapun, katanya, susulan syarat baharu ditetapkan kerajaan, lelaki itu telah dimasukkan ke stesen kuarantin di Langkawi semalam pada pukul 7.30 petang.

“Beliau tidak bergejala dan ujian saringan Covid-19 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mengesahkan beliau negatif sebelum dibenarkan meneruskan perjalanan penerbangan domestik ke Langkawi.

“Namun begitu, memandangkan mulai 24 Julai lalu kerajaan telah mewajibkan semula semua pengembara yang tiba di Malaysia untuk menjalani kuarantin selama 14 hari di stesen kuarantin, maka syarat mengenai kuarantin di rumah bagi MM2H adalah terbatal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, pengunjung di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LTAL) gempar apabila seorang lelaki warganegara asing bergelang pink berkeliaran di kawasan lapangan terbang itu.

Berikutan aduan orang ramai, Pasukan Gerakan Am (PGA) telah menahan lelaki itu dan memberi indikasi statusnya sebagai person under surveilance (PUS) dan berada di kawasan awam.

Sementara itu, Dr. Noor Hisham turut mengucapkan terima kasih di atas kerjasama dan keprihatinan agensi lain dan rakyat dalam mengawal dan mencegah penularan Covid-19.

Beliau berkata, pihaknya akan sentiasa memastikan kesiapsiagaan dan respon terhadap pandemik Covid-19 ini dilaksanakan selari dengan keputusan semasa kerajaan.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here