Letupan Beirut: Malaysia sedia hulur bantuan

0
182

CYBERJAYA – Malaysia sedia menawarkan sebarang bentuk bantuan yang diperlukan Lubnan selepas ibu negaranya digegarkan letupan yang menyebabkan kematian sekurang-kurangnya 70 orang dengan lebih 3,000 cedera.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam hantaran Facebook rasminya berkata, kerajaan dan rakyat Malaysia bersimpati kepada mangsa kejadian itu dan mendoakan mereka tabah dalam menghadapi dugaan berkenaan.

“Malaysia mengucapkan takziah kepada seluruh rakyat Lubnan atas tragedi letupan di Pelabuhan Beirut yang menggemparkan negara itu pagi tadi,” katanya dalam catatan terbaru di akaun Facebooknya.

Letupan yang berlaku kira-kira tengah malam Selasa waktu Malaysia itu dipercayai berpunca daripada kebakaran di sebuah gudang di Pelabuhan Beirut yang dikatakan menyimpan lebih 2,700 tan bahan letupan.

Muhyiddin turut menzahirkan kesyukuran selepas semua rakyat Malaysia di Beirut dilaporkan selamat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here