Mahkamah Persekutuan tolak semakan kehakiman Bintulu Lumber Development

0
575
Gambar hiasan

CYBERJAYA – Mahkamah Persekutuan kelmarin menolak permohonan semakan kehakiman yang difailkan oleh Bintulu Lumber Development Sdn Bhd untuk mencabar taksiran cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Menurut LHDN dalam satu kenyataan, panel lima hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai oleh Hakim Besar Malaya, Tan Sri Azahar Mohamed membuat keputusan itu setelah mendapati bahawa Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri telah bertindak secara sah menurut tafsiran Jadual 7A Akta Cukai Pendapatan 1967 oleh mahkamah.

Berikutan itu, katanya, Mahkamah Persekutuan memutuskan untuk menolak rayuan dengan kos.

“Peguam LHDN, Dr. Hazlina Hussain menghujahkan bahawa tidak ada kewujudan elemen tidak sah, tidak ada kesalahan undang-undang dan tidak ada keadaan luar biasa yang membolehkan kebenaran untuk semakan kehakiman diberikan secara sah di sisi undang-undang,” katanya.

Menurut kenyataan itu, Mahkamah Persekutuan tidak dapat diyakinkan bahawa persoalan undang-undang yang dibangkitkan adalah perkara yang melibatkan kepentingan awam yang mewujudkan keadaan luar biasa yang membolehkan permohonan semakan kehakiman dibenarkan.

“Ini adalah dengan jelas dibuktikan melalui prinsip yang diputuskan oleh kes-kes terdahulu berkaitan rayuan yang diperuntukkan oleh undang-undang statutori atau remedi domestik masih merupakan undang-undang yang baik dan terpakai,” ujarnya.

Sementara itu, dalam semakan kehakiman itu perayu diwakili oleh Datuk Palpanaban Devarajoo, George Loo Kuin Fah, Jonathan Tay Zhi Lun, S.Saravana Kumar dan Rosli Dahlan.

Peguam responden daripada LHDN pula diwakili Dr. Hazlina selaku peguam utama, Ashrina Ramzan Ali, Kwan Huey Shin dan Mohamad Danial Ahmad.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here