Makcik gelang pink dipenjara sehari, denda RM8,000

0
285
Makcik gelang pink berpakaian serba hitam ketika dibawa ke mahkamah

IPOH – Seorang wanita warga emas yang gambarnya tular kerana memakai gelang kuarantin berwarna pink ketika makan di sebuah restoran di sini dijatuhi hukuman
penjara selama satu hari dan denda RM8,000 oleh Mahkamah Majistret Ipoh, hari ini

Tertuduh, Nur Emah Mohamad Hashim, 72, didakwa atas pertuduhan tidak mematuhi Perintah Pengawasan dan Pemerhatian ketika dikenakan perintah kuarantin di rumah.

Memetik laporan Harian Metro, Nur Emah mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Nabihah Mohd Noor.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh boleh dipenjarakan selama enam bulan jika gagal membayar denda.

Mengikut kertas pertuduhan, Nur Emah didakwa tidak mematuhi Perintah Pengawasan dan Pemerhatian dan Pemerhatian di Hanaz Cafe pada 8 pagi 6 Julai 2020.

Tindakan tertuduh itu didapati melanggar perintah itu di bawah Subseksyen 15.(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 yang diarahkan oleh Pegawai Diberi Kuasa Syarifudin Abu Bakar bertempat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Selangor, 5.30 petang 4 Julai lalu.

Atas kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Subseksyen 22.(b), Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 yang boleh dihukum mengikut Subseksyen 24.(a) Akta yang sama dengan hukuman dipenjarakan tidak melebihi dua tahun atau didenda atau dengan kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa daripada Jabatan Kesihatan Negeri Perak, Ahmad Fakurazi Abu Bakar manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Ahmad Fakurazi ketika prosiding meminta mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kepada tertuduh.

Dalam rayuan Nur Emah ketika prosiding berkenaan, dia memohon agar mahkamah mengurangkan denda memandangkan ia adalah kesalahan pertama yang dilakukan.
di samping suaminya sudah meninggal dunia dan kini menanggung tiga anak selain tahap kesihatannya yang juga tidak sihat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here