Malakat Grocer 812 buka cawangan di Putra Perdana

0
860
Kakitangan Malakat Grocer 812 menyusun barangan di rak sebagai persediaan pra pembukaan Malakat Grocer 812 di Taman Putra Perdana, Puchong pada Jumaat ini. Gambar – FARID JANUDIN

RAUDHAH CITY – Selepas beberapa bulan beroperasi di Malakat Mall, rangkaian pasar raya Malakat Grocer 812 yang sebelum ini dikenali dengan nama Raudhah Grocer meluaskan sayap perniagaan dengan pembukaan satu lagi cawangan yang bakal beroperasi pada Jumaat ini.

Malakat Grocer 812 Cawangan Taman Putra Perdana yang beroperasi di Lingkaran Putra Perdana Off Jalan Putra Perdana 5C, Puchong itu merupakan salah satu projek berimpak tinggi Malakat Mall yang diwujudkan sebagai pasaraya komuniti.

Pengasasnya, Mohd. Fadzil Hashim berkata, pembukaan pasar raya itu merupakan projek strategik yang bertujuan menyatukan kuasa ekonomi umat Islam secara berpusat.

“Fokus utama kita adalah untuk menyediakan ruang dan peluang kepada usahawan bumiputera khususnya usahawan muslim memasarkan produk mereka dalam komuniti setempat.

“Sama seperti perjuangan kita di Malakat Mall, Malakat Grocer 812 ini juga memberi peluang kepada orang ramai untuk berbelanja dan menjadi ‘pemilik’ pasaraya ini,” katanya ketika ditemui dalam kunjungannya di premis perniagaan itu hari ini.

Pengasas Malakat Grocer 812, Mohd. Fadzil Hashim melihat produk yang terdapat di Malakat Grocer 812 yang bakal beroperasi pada Jumaat ini di Taman Putra Perdana, Puchong. Gambar – FARID JANUDIN

Mengulas lanjut, Mohd. Fadzil atau lebih dikenali sebagai Coach Fadzil berkata, pemilikan bersama pasaraya komuniti itu boleh dilakukan melalui pembelian saham Koperasi Persatuan Pengguna Islam Malaysia (KoPPIM).

“Kami mengalu-alukan penduduk khususnya di Putra Perdana untuk bersama-sama berjuang melalui pemilikan saham KoPPIM, berbelanja dan menikmati agihan keuntungan,” katanya.

Tarikan utama di premis perniagaan ini adalah produk-produk keluaran usahawan kecil dan sederhana bumiputera yang terdapat di Malakat Grocer, Cyberjaya.

Selain menawarkan pelbagai barangan keperluan harian, pasar raya yang beroperasi setiap hari bermula dari pukul 8 pagi sehingga 12 tengah malam itu turut menawarkan beberapa kiosk makanan popular dari Malakat Mall iaitu Bunch-Oh 812, Tea Amo dan Red Hot (hotdog Amerika).

Bersempena pra pembukaan itu, Malakat Grocer 812 menawarkan pelbagai potongan harga istimewa termasuk ayam segar setengah ekor pada harga RM4.99; ikan Pelaling (50 sen seekor); bawang merah (RM1.65 sekilogram); ikan bilis (RM2 per 100 gram); bawang putih (RM2.85 per kg) dan ubi kentang (RM1.80 per kg).

Kakitangan Malakat Grocer 812 menyusun barangan di rak sebagai persediaan pra pembukaan Malakat Grocer 812 di Taman Putra Perdana, Puchong pada Jumaat ini. Gambar – FARID JANUDIN

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here