Malakat Mall ‘tawar diri’ jadi pusat gerakan komuniti

0
190
PENGASAS dan Ketua Pegawai Eksekutif Malakat Mall, Mohd. Fadzil Hashim

RAUDHAH CITY – Malakat Mall mempelawa agensi, jabatan kerajaan dan mana-mana pertubuhan komuniti untuk menjadikan pusat beli-belah yang terletak di Cyberjaya itu sebagai pusat gerakan komuniti.

Pengasas Malakat Mall, Mohd. Fadzil Hashim berkata, pihaknya mengalu-alukan semua pihak untuk memanfaatkan segala kemudahan yang ada di pusat beli-belah berkonsep pusat perniagaan Islam itu untuk tujuan kebaikan.

“Biasanya pasar raya orang guna untuk tujuan hiburan atau suka-suka sahaja, tapi kita tawarkan kemudahan kita untuk semua tujuan termasuk untuk masa-masa susah.

“Kita sangat-sangat menggalakkan ia untuk dijadikan pusat gerakan komuniti untuk laksana program yang memberi manfaat kepada komuniti,” katanya ketika ditemui selepas Program Merdeka @Komuniti Daerah Sepang 2020 di Malakat Mall hari ini.

Program anjuran Jabatan Penerangan Daerah Sepang dengan kerjasama Malakat Mall itu berlangsung meriah dengan pelbagai acara bagi menyemarakkan sambutan Hari Kemerdekaan.

Mohd. Fadzil berkata, usaha menjadikan pusat beli-belah yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan itu bertepatan dengan tema sambutan Bulan Kebangsaan iaitu ‘Malaysia Prihatin’.

“Di sini kita boleh merancang dan mengatur strategi. Kita ada bilik-bilik mesyuarat, dewan, ruang penganjuran acara dan ruang santai yang luas,” katanya.

Malakat Mall yang terletak di Cyberjaya.

Tambah beliau, tema itu juga dipilih oleh kerajaan untuk menzahirkan keprihatinan kepada rakyat khususnya dalam meningkatkan semula kedudukan ekonomi yang terjejas teruk akibat wabak Covid-19.

Bagaimanapun katanya, dalam usaha itu orang ramai tidak boleh sekadar menghayati tema semata-mata tanpa berbuat apa-apa.

“Sebab itu tidak cukup sekadar cakap sahaja, kita kena buatlah sesuatu untuk mengubah kesan ekonomi itu.

“Semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga (PKPB), kita di Malakat Mall menganjurkan program bantuan golongan B40 yang terjejas akibat Covid-19.

“Dianggarkan lebih 20,000 orang telah menerima manfaat daripada pek bantuan keperluan harian melalui program Zero Hunger,” katanya.

Mohd. Fadzil berkata, penglibatan pihaknya dalam pelbagai program amal, pemberian infak, tawaran tempat berniaga dan peluang pemasaran melalui Malakat Mall tidak lain tidak bukan adalah untuk membangunkan semula ekonomi umat islam.

Mohd. Fadzil Hashim (dua dari kiri) pada majlis Program Merdeka @Komuniti Daerah Sepang 2020 anjuran Jabatan Penerangan Daerah Sepang di Malakat Mall hari ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here