MAQIS Selangor rampas 25,000 kg baja organik dari China

0
451

CYBERJAYA – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Selangor menahan baja organik yang cuba dibawa masuk dari negara China melalui Pintu Masuk Pelabuhan Klang Utara (PKU) pada akhir Julai lalu.

Pengarah MAQIS Selangor, Dr. Tarmisal Alimin berkata, kesemua hasil rampasan melalui hasil pemeriksaan Pegawai Penguatkuasa MAQIS itu dipercayai tidak mempunyai sebarang permit import yang dikeluarkan oleh pihaknya.

“Baja organik itu adalah sebanyak 25,000 kilogram (kg) yang bernilai RM43,426.30. Semua bahan pertanian itu ditahan untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya lagi, perbuatan mengimport apa-apa keluaran pertanian yang tidak mempunyai Permit Import sah yang dikeluarkan oleh MAQIS adalah menjadi suatu kesalahan di bawah Seksyen 11 (1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] yang boleh dihukum dibawah seksyen 11 (3) Akta yang sama.

“Jika disabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau keduanya sekali,” katanya.

Dalam pada itu katanya, MAQIS sentiasa menjalankan pemeriksaan bagi setiap keluaran pertanian yang masuk ke dalam negara bagi memastikan pengimport mematuhi syarat serta peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak Kerajaan.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here