MBSA ambil tindakan jika ada kakitangannya lindungi aktiviti haram

0
490
Premis yang didakwa menjalankan kegiatan haram di Sungai Buloh

CYBERJAYA – Majlis Perbandaran Shah Alam (MBSA) akan bekerjasama dengan pihak polis bagi menyiasat mengenai dakwaan seorang lelaki menerusi laman sosial mengenai kewujudan premis perjudian di sebuah kawasan di Sungai Buloh, Selangor.

Menurut MBSA dalam satu kenyataan, tindakan selanjutnya akan diambil sekiranya dakwaan itu benar.

“Pihak MBSA ingin menegaskan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak termasuk kakitangan MBSA sekiranya didapati melakukan aktiviti yang menyalahi peraturan dan undang-undang,” katanya hari ini.

Semalam tular satu video oleh seorang lelaki menerusi sebuah laman di Facebook yang mendakwa terdapat premis perjudian dan aktiviti haram di sekitar kawasan perindustrian Sungai Buloh yang tidak diambil tindakan oleh pihak penguatkuasa.

Lelaki itu bertindak demikian selepas tidak berpuas hati beberapa gerai yang menjual burger pada waktu malam disita oleh MBSA sedangkan, beberapa kedai haram milik warga asing dan kedai perjudian dibiarkan beroperasi tanpa tindakan.

Dalam pada itu, MBSA berkata, tindakan yang diambil terhadap gerai burger itu adalah disebabkan mengganggu lalu lintas dan menjalankan operasi selepas pukul 12 malam yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Pada masa sama, katanya, amaran juga telah diberikan tetapi tidak diendahkan. -MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here