Melecur teruk disambar api ketika isi minyak dengan enjin masih hidup

0
637
Keadaan kereta mangsa yang terbakar 30 peratus

CYBERJAYA – Seorang lelaki melecur di bahagian muka, tangan dan kaki selepas disambar api ketika mengisi minyak di sebuah stesen minyak berhampiran Jalan Besar Seri Kembangan, malam tadi.

Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Penguasa Kanan Bomba I Hafisham Mohd. Noor, pasukannya ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 8.11 malam.

“Sejurus tiba, anggota penyelamat mendapati kereta jenis Audi terbakar 10 peratus di bahagian pintu belakang dan permukaan bahagian hadapan pam di stesen minyak itu turut terbakar 30 peratus.

“Sewaktu kejadian, mangsa berusia 31 tahun itu terkena sambaran api di bahagian muka, tangan dan kaki selepas dipercayai tidak mematikan enjin sewaktu mengisi minyak kereta,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Serdang menggunakan ambulans bagi mendapatkan rawatan lanjut.

“Komander operasi turut mengarahkan anggota membuat pemeriksaan di lokasi bagi memastikan api dipadamkan sepenuhnya bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here