Mogok doktor: Perdana Menteri Korea Selatan beri amaran penalti maksimum

0
295

SEOUL – Perdana Menteri Chung Sye-kyun hari ini memberi amaran, kerajaan akan menjatuhkan hukuman setimpal yang mungkin kepada doktor perubatan terlibat dalam perhimpunan haram sekiranya mereka ingkar arahan kembali bertugas, lapor agensi berita Yonhap.

“Mulai sekarang, kerajaan akan bertindak dengan pantas dan tegas terhadap tindakan berkumpulan  (doktor) bagi melindungi nyawa dan keselamatan rakyat,” kata perdana menteri itu dalam mesyuarat tergempar kerajaan untuk menangani mogok yang sedang berlangsung.

“(Pemerintah) akan melaksanakan hukuman maksimum mengikut lunas undang-undang ke atas doktor yang meninggalkan tugas tanpa kebenaran,” katanya.

Amaran itu dikeluarkan beberapa jam selepas Presiden Moon Jae-in mengarahkan kerajaan supaya lebih bertegas dalam menangani mogok itu menerusi ‘prinsip penguatkuasaan’  undang-undang.

Membantah rancangan pembaharuan perubatan kerajaan yang termasuk menaikkan kuota kemasukan ke sekolah perubatan, ribuan doktor termasuk pelatih sepenuh masa dan pengamal swasta, melakukan mogok tiga hari penuh awal hari ini.

Perhimpunan itu memaksa lima hospital utama di negara ini memendekkan waktu klinik dan menangguhkan pembedahan yang dijadualkan, memberi kesan besar kepada perkhidmatan perubatan.

Puluhan ribu doktor melancarkan mogok berskala besar di seluruh Korea Selatan sebagai membantah rancangan pembaharuan tenaga kerja perubatan kerajaan.

Mogok selama tiga hari itu sejak Isnin lalu dianjurkan Persatuan Perubatan Korea (KMA) yang mempunyai kira-kira 130,000 ahli dengan bantahan tindakan kerajaan untuk meningkatkan jumlah pelajar perubatan.

Susulan itu, Kementerian Kesihatan mengeluarkan arahan mewajibkan doktor kembali bertugas berikutan kebimbangan peningkatan kes Covid-19.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here