Mohd. Khairuddin mohon maaf, sumbangkan empat bulan gaji tanda maaf

0
491
Mohd. Khairuddin

CYBERJAYA – Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia di atas kesalahannya yang tidak menjalani proses kuarantin selepas pulang dari Turki, baru-baru ini.

Beliau berkata, sebagai menteri, beliau bertanggungjawab untuk akur kepada peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“Sebagai menzahirkan rasa bertanggungjawab, saya juga dengan ini akan memulangkan semua gaji saya sebagai menteri untuk bulan Mei hingga Ogos sebagai sumbangan kepada Tabung Bantuan Bencana Negara (Tabung Covid-19) di bawah Kementerian Kesihatan (KKM).

“Gaji Mac dan April juga telah disumbangkan sebelum ini ke tabung tersebut sebagaimana keputusan Kabinet,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

KKM dalam satu kenyataan hari ini memberitahu Mohd. Khairuddin dikompaun RM1,000 di atas kesalahan tersebut dan telah menjelaskannya.

Sementara itu, Mohd. Khairuddin juga berjanji untuk terus bekerja keras dalam melaksanakan amanah diberikan.

“Saya juga akan terus bekerja keras dan melipat-gandakan lagi segala usaha dan tenaga saya untuk melaksanakan tugasan amanah sebagai menteri bagi memastikan semua rakyat yang terlibat di bidang perladangan dan komoditi, khususnya lebih sejuta pekebun kecil B40 sentiasa mendapat manfaat dan terbela kebajikan mereka,” ujarnya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here