
APA Khabar Orang Kita…Nampaknya bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad tampil menubuhkan parti baharu sebagai blok bebas.
Parti tersebut masih tiada ‘surat beranak’ kerana masih tiada nama rasmi selain belum berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).
Apa yang dimaklumkan perjuangan parti baharu bekas Perdana Menteri itu adalah sama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dahulu.
Walaupun menidakkan niat untuk perbanyakkan parti Melayu, tindakan Ahli Parlimen Langkawi itu seolah-olah dapat diramal banyak pihak.
Dr. Mahathir memaklumkan bahawa parti itu akan bertanding dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang, nampaknya undi Melayu berpecah lagi.
Beliau juga berulang kali menyatakan bahawa UMNO, PAS dan Bersatu sudah lari daripada perjuangan asal berkenaan politik orang Melayu.
Namun hakikatnya, siapa yang tahu…agenda utama penubuhan parti baru tersebut juga boleh dipersoalkan apabila melihat carta penerajunya.
Kita kalau boleh mahu melihat orang Melayu bersatu agar menjadi kukuh namun, apabila melihat keadaan politik semuanya menjadi punah.
Masing-masing ada agenda, golongan bawahan hanya boleh berikan pendapat di meja kopi, siapa yang mahu ambil kisah, asalkan agenda tercapai.
Akhir-akhir ini, politik negara juga semakin hangat termasuk apa yang berlaku di Sabah sehingga pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).
Mungkin secara kebetulan, menambahkan lagi kehangatan apabila terdapat pemimpin terdahulu yang berdepan dengan tindakan undang-undang.
Sebelum ini, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak didapati bersalah dalam kes SRC International dan dijatuhkan hukuman dan denda.
Terbaharu, bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng juga ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kesnya.-MT