Pasang Jalur Gemilang dapat parkir percuma

0
296
Gambar hiasan.

KUANTAN – Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) menawarkan parkir percuma kepada pengguna kenderaan yang memasang bendera bermula dari 24 hingga 31 Ogos ini.

Ketua Seksyen Perhubungan Awam dan Korporat MPK, Norkamawati Kamal berkata, inisiatif itu merupakan usaha pihaknya menyemarakkan semangat sambutan Bulan Kebangsaan sempena Hari Kemerdekaan tidak lama lagi.

“Tawaran parkir percuma ini diberikan kepada orang ramai yang memasang Jalur Gemilang pada kenderaan mereka.

“Bagaimanapun tawaran ini tertakluk kepada syarat ditetapkan seperti mengikut saiz dan cara pemasangan. Begitu juga bendera perlu cantik, tidak pudar dan koyak,” katanya melalui satu kenyataan hari ini.

Berikutan itu katanya, orang ramai yang memasang bendera pada kenderaan dengan mematuhi syarat-syarat tersebut di kawasan MPK tidak perlu meletakkan kupon parkir.

“Tiada kompaun akan dikeluarkan kepada mereka yang tidak meletakkan kupon atau menjelaskan caj parkir secara dalam talian melalui aplikasi PahangGo,” katanya.

Bagaimanapun Norkamawati berkata, bagi kesalahan meletakkan kenderaan di tempat tidak dibenarkan, tindakan apit tayar atau kompaun tetap akan dikenakan walaupun memasang Jalur Gemilang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here