Pasang tulisan Cina di papan tanda jalan boleh cetuskan ketegangan kaum

0
9056
Beberapa ahli DAP memasang tulisan Cina di atas papan tanda jalan di sekitar Kuching hari ini

CYBERJAYA – Tindakan DAP meletakkan tulisan bahasa Cina ke atas beberapa nama jalan di sekitar Kuching, tanpa kebenaran pihak berkuasa tempatan (PBT) disifatkan sebagai sengaja mencetuskan ketegangan.

Timbalan Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera (PBB), Fazzrudin Abdul Rahman berkata, perbuatan itu juga boleh dianggap bermotif menghasut, kerana sesuatu kaum akan bangkit jika bahasa, budaya dan agama kaum digunakan sebagai ‘senjata’.

“Pemuda PBB kesal dengan tindakan DAP yang tidak menghormati undang-undang, melakukan vandalisme secara terang-terangan terhadap papan tanda jalan di sekitar Kuching, malah mendabik dada dengan perbuatan mereka itu apabila memviralkan perbuatan itu di media sosial.

“Tindakan DAP meletakkan tulisan bahasa Mandarin atau tulisan Cina ke atas beberapa nama jalan di sekitar Kuching, tanpa kebenaran pihak berkuasa tempatan, jelas melanggar peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1953/1967, yang menetapkan bahasa kebangsaan hendaklah digunakan dalam semua urusan rasmi kerajaan termasuk pada papan tanda nama jalan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pemuda DAP Kuching hari ini mencetuskan kemarahan banyak pihak memasang tulisan Mandarin di atas papan tanda Jalan Main Bazaar, Jalan Wayang dan Jalan Greenhill.

Gambar tersebut juga dimuatnaik menerusi laman Facebook DAP Sarawak hari ini.

Sementara itu Fazzrudin, mahu tindakan diambil terhadap pihak berkenaan di bawah Akta Hasutan 1948 kerana dianggap cuba menghasut dengan membangkitkan isu berkenaan sehingga mencetuskan suasana tegang, konflik dan menggugat keselamatan.

“Pemuda PBB percaya semua rakyat Sarawak yang terdiri dari pelbagai kaum dan agama, sayang akan bahasa dan budaya masing-masing, namun pada masa sama, semua kita harus menghormati perlembagaan dan bahasa kebangsaan.

“Semua kita harus bersikap realistik dalam perkara ini dan terus mempertahankan keharmonian kaum yang kita nikmati selama ini,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here