Pelantikan Abdul Ghani tamatkan spekulasi siapa Pengerusi baharu SPR

0
278

Abdul Ghani dilantik sebagai Pengerusi SPR yang baharu

CYBERJAYA – Bekas Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh hari ini dilantik sebagai Pengerusi SPR yang baharu.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali berkata, pelantikan itu telah mendapat perkenan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah.

“Pelantikan itu dibuat mengikut Fasal (1) Perkara 114 Perlembagaan Persekutuan bermula hari ini sehingga usianya mencapai 66 tahun selaras dengan Fasal (3) Perkara 114 Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd. Zuki berkata, selain pernah memegang jawatan sebagai Setiausaha SPR, Abdul Ghani juga pernah memegang beberapa jawatan kanan lain seperti Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Langat, Pengarah Jabatan Perancangan Korporat dan Pembangunan Masyarakat dan Pegawai Daerah Gombak.

Dalam pada itu, Mohd. Zuki turut mengumumkan pelantikan bekas Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Nik Ali Mat Yunus sebagai Ahli SPR berkuatkuasa pada tarikh sama.

“Dengan kelayakan dan pengalaman yang dimiliki, diyakini mereka akan dapat menggalas amanah dan tanggungjawab sebagai Pengerusi dan Ahli SPR mengikut kehendak Perlembagaan Persekutuan dengan sempurna.

“Kerajaan ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Datuk Azhar Azizan Harun dan Datuk Seri Ramlan Ibrahim atas khidmat bakti sepanjang menjawat jawatan masing-masing sebagai Pengerusi dan Ahli SPR,” katanya.

Sebelum ini terdapat desas desus bekas Pengerusi Bersih, Datuk S. Ambiga bakal dilantik sebagai pengerusi baharu suruhanjaya itu namun begitu, dengan pelantikan Abdul Ghani menamatkan spekulasi tersebut.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here