Polis ambil keterangan Mohd. Khairuddin selama 3 jam

0
121

CYBERJAYA- Polis merakamkan keterangan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali selama tiga jam semalam.

Mohd. Khairuddin dipanggil memberi keterangan berhubung isu pelanggaran kuarantin selepas beliau pulang dari Turki pada awal bulan lalu.

Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, selain keterangan Menteri terbabit keterangan beberapa saksi turut direkodkan.

“Semalam proses merakamkan keterangan beliau (Mohd. Khairuddin) di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman bermula pukul 8.30 hingga 11.30 malam.

“Selain Mohd. Khairuddin, beberapa saksi lain turut direkod keterangan bagi membantu melengkapkan siasatan,” katanya seperti dilaporkan Kosmo.

Media sebelum ini melaporkan, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyerahkan siasatan berhubung isu pelanggaran kuarantin oleh Ahli Parlimen Kuala Nerus itu kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Tindakan itu dibuat susulan Mohd. Khairuddin dikatakan tidak mematuhi perintah kuarantin selepas pulang dari lawatan tidak rasmi di Turki pada awal Julai lalu selain menghadiri persidangan Dewan Rakyat pada 13 Julai.

Mohd. Khairuddin dikompaun oleh Kementerian Kesihatan sebanyak RM1,000 atas kesalahan melanggar perintah kuarantin mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 (Akta 342). 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here