PRK Slim: Pengundi dinasihat patuhi jadual keluar mengundi

0
88

CYBERJAYA – Sebanyak 12 pusat mengundi dengan 54 saluran dan sebanyak 689 petugas akan dikerah bagi melancarkan proses Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, esok. 

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia, Ikmalrudin Ishak berkata, seramai 22,749 orang pengundi bakal mengundi di PRK DUN N.58 yang akan bermula dari pukul 8 pagi hinga 5.30 petang. 

Sehubungan itu katanya SPR mengingatkan pengundi supaya mematuhi jadual waktu mengundi yang digalakkan seperti tercatat pada kad pengundi dan tidak keluar mengundi pada saat-saat  akhir. 

“Sekiranya tidak dapat hadir pada masa keluar mengundi yang digalakkan atas sebab-sebab tertentu, pengundi masih boleh keluar mengundi mengikut kelapangan masa dari jam 8.00 pagi hingga 5.30 petang,’’ katanya dalam kenyataan dikeluarkan hari ini. 

Ikmalrudin berkata, SPR turut mengingatkan majikan supaya membenarkan pekerja yang telah berdaftar sebagai pemilih untuk keluar mengundi. 

“Mana-mana majikan yang menghalang pekerja mereka untuk keluar mengundi boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 25 (3) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang memperuntukkan hukuman denda RM5,000 atau penjara selama setahun, jika sabit kesalahan,’’ katanya.

Sementara itu, SPR turut mengulangi larangan pengundi, calon dan petugas yang memasuki pusat mengundi pada hari mengundi supaya tidak memakai sebarang material yang berkait dengan parti atau calon bertanding.

“Nama, simbol, gambar parti atau calon bertanding atau apa-apa bahan kempen serta sebarang tagline atau slogan kempen yang menjurus atau membawa maksud sokongan atau cenderung kepada mana-mana fahaman politik tidak dibenarkan.

“SPR sekali lagi mengingatkan semua pihak yang bertanding bahawa tempoh rasmi berkempen akan tamat pada malam ini iaitu sehingga jam 11.59 minit malam, 28 Ogos 2020,’’ katanya. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here