Ramai sedih dan kecewa dengan cadangan kerajaan bina 10 SJKC baharu

0
4710


CYBERJAYA – Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) percaya banyak sedih dan kecewa dengan cadangan kerajaan untuk membina 10 buah lagi Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di negara ini.


Presiden Isma, Aminuddin Yahaya berkata, cadangan itu seolah-olah kerajaan tidak mengendahkan pandangan pakar pendidikan yang ianya bercanggah dengan perlembagaan.


Beliau berkata, ia juga menunjukkan  kerajaan masih tidak mahu mendengar rintihan rakyat, NGO-NGO dan pakar-pakar pendidikan yang sekolah vernakular memecahbelahkan masyarakat.


“Nampaknya kerajaan sayang sungguh pada Dong Jiao Zong, Hua Zong, MCA dan sewaktu dengannya. Apalah yang kerajaan ‘terhutang budi’ sangat kepada mereka ini. 


“Saya tidak pasti apa sebenarnya tujuan cadangan kerajaan untuk mendirikan 10 SJKC baharu. Jika pertimbangan politiklah yang menjadi perkiraan, tidakkah mereka lupa sebelum PRU 14 dahulu.


“Macam-macam yang kerajaan BN (Barisan Nasional) beri untuk pendidikan cina termasuk SJKC baru juga, pun tidak menjamin sokongan masyarakat itu dalam pilihanraya.


“Sudah-sudahlah membuat sesuatu semata-mata atas pertimbangan politik, sampai sanggup menggadai masa depan negara,” katanya dalam satu kenyataan semalam.


Menurut Aminuddin, banyak kajian yang telah dibentang dan didokumentasikan oleh pakar-pakar pendidikan yang membuktikan bahawa kewujudan sistem sekolah vernakular mendatangkan lebih banyak implikasi negatif berbanding kebaikan. 


“Baik dalam aspek pemerkasaan bahasa kebangsaan, naratif sejarah negara, pengasingan pergaulan dan perpaduan kaum antara hujah popular mengapa SJKC ini perlu ditolak demi mencapai perpaduan nasional yang diidam-idamkan. 


“Kalau beginilah sikap bangsa lain, saya bimbang satu hari nanti orang Melayu pula akan menuntut kerajaan mengembalikan semula sistem sekolah aliran Melayu seperti awal tahun-tahun 70an dahulu yang telah dimansuhkan. 


“Alasan mereka orang Melayu mahu belajar sejarah Melayu, Bahasa Melayu, tulisan Jawi dan lain-lain lagi sesuai dengan kehendak mereka tanpa ada bantahan dari pihak lain. 


“Apa gunanya orang-orang Melayu berkompromi dengan mengorbankan sekolah aliran Melayu dahulu jika akhirnya aspirasi pengorbanan tersebut tidak dihargai pun, dengan sekolah-sekolah vernakular semakin diperkasakan, Apakah senario ini yang kerajaan inginkan,” soalnya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here