Rebut kuasa di kuil punca gaduh pengerusi lama dan baharu

0
543
Pistol yang dirampas daripada suspek pertama kes berkenaan

CYBERJAYA – Seorang lelaki tempatan berusia 41 tahun ditahan polis semalam selepas membuat ugutan jenayah terhadap seorang lagi individu yang dikenalinya.

Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal, pihaknya menerima laporan dibuat seorang wanita yang mendakwa diugut lelaki dikenalinya di tempat letak kenderaan awam berhadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya pada 5.30 petang kelmarin.

“Siasatan awal mendapati berlaku perselisihan faham di antara dua individu iaitu suspek pertama yang merupakan pengerusi baharu persatuan pengurusan kuil dengan pengerusi lama mengenai perebutan kuasa dalam pengurusan di sebuah kuil di kawasan Sea Park.

“Dalam isu ini terdapat dua laporan polis di buat ke atas suspek pertama yang mana kedua-dua laporan polis tersebut dibuat pada Khamis lalu di Balai Polis Sea Park, Petaling Jaya oleh pengerusi lama persatuan kuil terbabit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, bertindak atas maklumat, pada pukul 11.30 malam semalam bahagian siasatan jenayah IPD Petaling Jaya telah berjaya merampas dua pucuk senjata api daripada seorang suspek untuk membantu siasatan yang dijalankan.

“Senjata api tersebut dirampas di pejabat suspek itu di Balakong, Cheras. Siasatan mendapati suspek itu mempunyai lesen senjatapi api yang sah dan dikeluarkan oleh IPD Kajang.

“Suspek ini telah ditahan reman selama satu hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

“Suspek juga telah diberi jaminan polis kerana reman yang diperolehi telah tamat. Walaubagaimanapun, dua pucuk pistol yang dirampas masih di dalam simpanan polis,” ujarnya.

Dalam pada itu, katanya, pihak polis juga masih meneruskan sisatan ke atas kedua-dua pihak bertelagah bagi meneliti pembabitan dan pengaruh kumpulan kongsi gelap melibatkan ‘geng 21’ dan ‘geng 08’ serta ‘geng 04’ di dalam pertelingkahan itu.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here