Saifuddin sambut baik kesediaan Bersatu terima bukan Bumiputera

0
238

CYBERJAYA – Datuk Saifuddin Abdullah menyambut baik kesediaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) membuka keahlian parti itu kepada bukan Bumiputera.

Ahli Parlimen Indera Mahkota itu berkata, beliau optimis kemasukan bukan Bumiputera secara tidak langsung akan menyuntik kekuatan baharu kepada Perikatan Nasional (PN).


“Apabila kami kumpulan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyertai Bersatu, dalam kumpulan ini ada juga yang bukan Bumiputera. Oleh demikian, takkanlah kami nak biarkan mereka bersendirian.

“Kami sangat berterima kasih apabila Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Presiden Bersatu bersedia untuk memberi pertimbangan sewajarnya tentang kemasukan bukan Bumiputera.

“Kemungkinan akan ada pindaan perlembangaan Bersatu untuk bolehkan penerimaan keahlian Bumiputera secara aktif, bagi saya ini merupakan perkara yang mustahak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan program Pelancaran dan Demontrasi Secara Langsung Oryctes di Futurise Center, di sini hari ini.

Menurut Saifuddin, terdapat dua faktor utama Bersatu perlu menerima kemasukan bukan Bumiputera iaitu meraikan anggota kumpulan kami yang keluar PKR dan menyuntik kepelbagaian kaum dalam PN.

“Dalam PN ada parti yang dominan kepada satu kaum dan jika Bersatu menerima kemasukan bukan Bumiputera akan ada parti campuran keanggotaan ahlinya,” jelas Saifuddin.

Baru-baru ini, Muhyiddin menegaskan Bersatu bersedia meminda perlembagaan untuk membolehkan ahli bersekutu yang terdiri daripada bukan Bumiputera.

Meneruai cadangan itu katanya, bukan Bumiputera kelak bukan sahaja boleh menjawat jawatan lebih tinggi, tetapi turut bersama memberi idea untuk memajukan parti.

Bagi merealisasikan aspirasi itu, Muhyiddin berkata satu jawatankuasa yang diketuai oleh Tan Sri Rais Yatim telah ditubuhkan untuk mengkaji perkara dan mengemukakan cadangan kepada Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu.

Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan kira-kira 5,000 perwakilan Kongres Negara 2020 bertemakan Bersatu Untuk Malaysia di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) pada Sabtu lalu.

Dalam majlis sama, Mohamed Azmin yang juga bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) turut mengumumkan dirinya dan sembilan lagi Ahli Parlimen menyertai Bersatu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here