Sanggup pandu 500km untuk hantar PATI ke Perlis

0
167
Kereta yang digunakan oleh seorang wanita untuk menghantar PATI ke Perlis

CYBERJAYA – Demi upah RM450, seorang wanita sanggup mengambil risiko memandu sejauh hampir 500 kilometer (km) untuk menghantar tiga lelaki pendatang asing tanpa izin (PATI) yang tidak dikenalinya dari Kuala Lumpur ke Perlis.

Wanita berumur 33 tahun serta tiga lelaki Bangladesh itu bagaimanapun gagal sampai ke destinasi yang dituju apabila ditahan polis di Jalan Napoh menghala Changlun, Kedah kira-kira pukul 5.10 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd. Ismail Ibrahim berkata, kereta jenis Toyota Vios dipandu wanita dari Selangor itu ditahan ketika melalui sekatan jalan raya di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran.

“Kereta dinaiki mereka tiba di sekatan jalan raya itu kira-kira pukul 5.10 petang semalam dengan pemeriksaan dijalankan mendapati ketiga-tiga lelaki Bangladesh gagal mengemukakan dokumen perjalanan sah.

“PATI berumur 30, 33 dan 36 tahun itu tidak memiliki pasport, namun mempunyai kad permit kerja disyaki palsu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Mohd. Ismail, tiga lelaki warga asing tersebut telah berada di negara ini sejak tiga tahun lalu dan pernah bekerja sebagai buruh binaan dan kilang perabot di Kuala Lumpur.

“Siasatan awal mendapati mereka dari Sentul, Kuala Lumpur menuju ke Bukit Keteri, Perlis dengan tujuan untuk mencari pekerjaan,” ujarnya.

Katanya, wanita itu pula mencari pendapatan dengan memandu kereta sapu dan dipercayai menerima tawaran melakukan penghantaran itu daripada seorang lagi lelaki Bangladesh yang pernah menjadi penumpangnya sebelum ini.

“Wanita itu mengaku mengambil tiga PATI itu kira-kira pukul 10 pagi di Sentul dan mendakwa belum dibayar untuk melakukan kerja tersebut.

“Dia juga mendakwa kali pertama berurusan dengan ketiga-tiga lelaki berkenaan,” katanya.

Tambahnya, wanita terbabit disiasat di bawah Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 sementara tiga PATI itu pula disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here