Sekolah vernakular umpama bom jangka

0
370

CYBERJAYA – Sistem pendidikan vernakular yang masih dipraktikkan di negara ini umpama bom jangka kepada kedaulatan negara.

Ahli Jawatankuasa Pusat Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Shuhaib Ar-Rumy Selamat berkata, kewujudan sekolah vernakular adalah punca utama yang mencetuskan sikap prejudis dan ketegangan sesama kaum masih menebal di negara ini.

Beliau berkata, adalah sangat pelik apabila negara ini masih bergelut dengan isu sistem pendidikan vernakular sedangkan negara sudah mencapai kemerdekaan selama 63 tahun.

“Sekolah vernakular adalah tinggalan penjajah yang melemahkan tiang utama pembinaan bangsa.

“Sekiranya sekolah jenis ini terus diterima dan berkembang, kita bimbang ia akan bertukar menjadi ‘bom jangka’ kepada kedaulatan negara.

“Sudah banyak bukti menunjukkan sekolah vernakular menjejaskan usaha perpaduan kaum di Malaysia,” katanya memetik portal ismaweb.net hari ini.

Shuhaib Ar-Rumy berkata demikian bagi mengulas tiga pertubuhan memfailkan permohonan untuk menjadi pencelah dalam saman yang difailkan Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru) di Mahkamah Tinggi di Kota Bharu bagi mencabar kewujudan sekolah vernakular di negara ini.

Permohonan itu difailkan Majlis Bahasa Cina, Persatuan Bahasa Tamil dan Gabungan Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Tamil, awal minggu lalu.

Mengulas lanjut, Ustaz Shuhaib menegaskan bahawa sekolah vernakular telah mengabaikan penerapan Bahasa Melayu sebagai identiti, kerana ia dijadikan sebagai bahasa kedua.

“Maka, lahirlah generasi demi generasi yang tidak mampu bertutur dalam Bahasa Melayu dengan fasih, apatah lagi menghormati asas utama negara iaitu Islam, Melayu dan Raja,” katanya.

Pertubuhan Bukan Kerajaan, Isma pada 8 Januari lalu telah memfailkan writ saman berhubung keabsahan sekolah vernakular.

Presiden Isma, Aminuddin Yahaya menegaskan, sudah tiba masanya mahkamah meletakkan satu titik pengakhiran terhadap sekolah vernakular yang sejak dahulu lagi mewujudkan polemik dalam memupuk perpaduan kaum di Malaysia.

Pada 16 November tahun lalu, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (MAPPIM), juga memfailkan writ saman bagi mendapatkan pengisytiharan bahawa kewujudan sekolah-sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil adalah bercanggah Perlembagaan Persekutuan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here