Semua jangkitan tempatan Covid-19 hari ini dilaporkan di Kedah

0
275
Gambar hiasan

CYBERJAYA – Satu lagi kes jangkitan Covoid-19 melibatkan kluster Tawar dilaporkan hari ini menjadikan secara keseluruhan sebanyak 74 kes dikesan melibatkan kluster berasal dari Kedah itu.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah, sehingga pukul 12 tengah hari ini, seramai 16,462 orang telah disaring dalam kluster itu.

“Di Kedah sebanyak 15,917 orang disaring dengan 63 kes dikesan positif Covid-19; 12,597 individu negatif dan 3,257 individu masih menunggu keputusan.

“Di Pulau Pinang pula seramai 534 orang disaring; 11 kes dikesan positif Covid-19 dan 523 individu negatif manakala di Perak kekal 11 orang menjalani saringan, di manan kesemuanya negatif,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya lagi, daripada jumlah saringan di negeri Kedah seramai 12,553 orang adalah dari kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran yang membabitkan tiga zon iaitu zon Kenanga, Mawar dan Melur di Amanjaya.

Bagaimanapun, katanya, setakat ini tiada kes baharu dilaporkan dalam zon-zon tersebut.

“Sebanyak 8,084 dilaporkan negatif Covid-19 dan 4,469 masih menunggu keputusan ujian makmal,” ujarnya.

Sementara itu, katanya, secara keseluruhan sebanyak enam kes baharu dilaporkan hari ini yang mana dua kes melibatkan kes tempatan di Kedah manakala empat lagi kes import.

Katanya, satu lagi kes jangkitan tempatan di Kedah melibatkan kluster Telaga.

“Kluster ini mula dilaporkan kelmarin dengan dua kes positif melibatkan kakitangan hospital.

“Namun hasil siasatan lanjut mendapati terdapat dua lagi kes positif Covid-19 yang telah dilaporkan sebelum ini dan didapati juga merupakan kontak rapat kepada kes indeks.

“Ini menjadikan jumlah kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini sebanyak lima kes,” ujarnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here