Seorang nelayan Vietnam ditembak mati selepas cuba rempuh, lempar bom diesel

0
246
Bot milik Maritim Malaysia yang diserang dan dilempar bom diesel

PASIR PUTEH – Seorang nelayan warganegara Vietnam maut ditembak selepas cuba bertindak ganas dengan merempuh dan melempar bom diesel ke atas bot Maritim Malaysia di perairan negara semalam.

Pengarah Maritim negeri Kelantan, Muhd Nur Syam Asmawie Yaacob berkata, nelayan asing Vietnam itu bertindak agresif selepas pihaknya mengarahkan mereka untuk menghentikan bot dan menyerah diri.

“Dalam kejadian tersebut, tembakan amaran ke udara diberikan namun mereka terus melemparkan beberapa bom diesel serta membaling getah yang dicucuh api ke arah bot penyelamat supaya bot terbakar.

“Tidak cukup dengan itu, objek keras juga dilempar bertalu-talu ke arah anggota hingga menyebabkan terdapat bahagian bot yang pecah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kedua-dua bot nelayan terbabit bertindak semakin ganas dengan merempuh bot penyelamat dan mengakibatkan anggota bertugas terpaksa melepaskan tembakan bagi mempertahankan keselamatan aset kerajaan dan anggota Maritim Malaysia.

“Rentetan rempuhan itu, bot penyelamat berkenaan telah mengalami kerosakan di bahagian atas bot, manakala salah seorang awak-awak Vietnam terkena tembakan.

“KM Tok Bali dan Bot Penggalang 18 telah digerakkan untuk memberi bantuan dan apabila tiba di lokasi kejadian, awak-awak Vietnam yang cedera parah didapati telah mati dan mayat dibawa ke hospital Tengku Anis untuk tindakan lanjut,” ujarnya.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati, bot pertama Vietnam mempunyai 16 awak-awak termasuk tekong manakala bot kedua mempunyai tiga awak-awak termasuk tekong.

Katanya, kedua-dua bot itu tidak memiliki permit menangkap ikan di bawah Akta Perikanan 1985 dan telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.

“Nilai keseluruhan rampasan termasuk bot, hasil tangkapan dan diesel dianggar bernilai lebih kurang RM2 juta.

“Kedua-dua bot dan 18 awak-awak ditahan termasuk satu yang mati dibawa masuk ke Jeti Maritim negeri Kelantan dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 yang boleh membawa hukuman denda sehingga RM6 juta ke atas tekong dan RM600,000 ke atas awak-awak.

“Mereka juga akan didakwa di bawah Akta Imigresen 1959/1963, Seksyen 6(1)(c) yang boleh membawa kepada denda RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya serta boleh dikenakan sebatan tidak lebih daripada enam sebatan.

“Selain itu, Maritim Malaysia juga akan menyiasat dan menuduh awak-awak di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam,” ujarnya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here