Terima kasih semua – Dr. Noor Hisham

0
269
Hanya satu kes Covid-19 dilaporkan hari ini

CYBERJAYA – Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah merakamkan penghargaan di atas komitmen semua pihak selepas hanya satu kes jangkitan Covid-19 dicatatkan hari ini.

Beliau berkata, lebih melegakan apabila tiada kes Covid-19 yang dirawat di unit rawatan rapi (ICU).

“Kementerian Kesihatan (KKM) ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak kerana pencapaian ini sememangnya adalah hasil usaha dan kerjasama setiap peringkat dan lapisan masyarakat, serta agensi terbabit dalam memainkan peranan masing-masing.

“KKM berharap masyarakat akan terus mengamalkan kelaziman baharu dalam kehidupan seharian dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr. Noor Hisham berkata, kali terakhir negara mencatatkan hanya satu kes ialah kira-kira sebulan yang lalu.

Dalam pada itu, beliau juga meminta setiap lapisan dan kumpulan masyarakat agar dapat meneruskan usaha menurunkan kes Covid-19 dengan mengamalkan penjarakan fizikal yang selamat, menjaga kebersihan diri, mengelakkan kawasan yang sempit dan sesak serta mengelakkan bertutur dengan jarak yang dekat.

“Penularan semula jangkitan Covid-19 di Malaysia boleh berlaku sekiranya kita leka dan mengambil mudah saranan, arahan serta amaran kerajaan.

“Justeru, masyarakat perlu terus mengambil langkah-langkah pencegahan jangkitan Covid-19 pada setiap masa bagi memastikan kita terus berjaya dalam memerangi wabak Covid-19,” ujarnya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here