Tindakan mahkamah, denda RM1,000 jika enggan bayar caj kuarantin

0
200
Gambar hiasan

CYBERJAYA – Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang enggan membayar caj kuarantin atau menandatangani perjanjian pembayaran (LoU) ketika tiba di tanah air.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, mereka perlu menyelesaikan pembayaran caj kuarantin sebanyak RM150 sehari dalam masa 14 hari dan sekiranya gagal, mereka akan dikenakan kompaun RM1,000 dan tindakan mahkamah.

“Bagi individu yang enggan membayar caj kuarantin atau menandatangani LoU, mereka akan dihantar ke institut latihan awam (ILA) terlebih dahulu memandangkan ILA adalah milik kerajaan dan penempatan individu terbabit boleh dilakukan tanpa pembayaran deposit terlebih dahulu.

“Ini bagi mengelakkan keterdedahan individu terbabit kepada orang awam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, selain daripada pemegang kad orang kurang upaya (OKU) yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), hanya pelajar daripada keluarga B40 boleh memohon pengecualian pembayaran kos kuarantin.

“Setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pelajar terbabit perlu memaklumkan sekretariat yang bertugas dan semakan akan dibuat dengan merujuk pengkalan data Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

“Setelah pengesahan dibuat, pelajar yang layak akan diberi borang kelulusan dan ia perlu dikemukakan kepada pihak hotel sewaktu membuat pendaftaran bilik.

“Bagi pelajar yang telah tamat pengajian pula, hanya mereka yang dibawah tajaan sahaja tidak perlu membayar kos kuarantin kerana kos ditanggung oleh pihak penaja,” jelasnya.

Sementara itu, beliau berkata, caj kos kuarantin di semua stesen kuarantin sama ada hotel ataupun ILA adalah sama.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here