
RAUDHAH CITY – Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan mengesahkan akan dipanggil untuk memberi keterangan kepada pihak polis selepas solat Jumaat hari ini.
Nadzim atau lebih dikenali sebagai Tok Ki ketika ditemui Malakat Tribune berkata, beliau akan memberi kerjasama kepada polis dan berharap siasatan itu dapat diselesaikan dengan cara terbaik.
“Pada pandangan kita apa yang disebut oleh panglima kita (Asri Janggut) boleh diselesaikan dengan cara baik.
“Ya lah, kadang-kadang ada salah paham pun ia juga, sebab sebelum ini dia tak pernah cakap dengan media.
“Jadi kita harapkan perkara ini diselesaikan secara baik sebab sebelum ini pun ada ramai yang keluarkan komen tapi ok sahaja,” katanya.
Terdahulu beliau menghadiri majlis pembukaan Malakat Grocer 812 di Taman Putra Perdana, Puchong di sini hari ini.
Sebelum ini, Mohd Asri Hamid atau dikenali sebagai Asri Jangut dalam satu siaran langsung menerusi Facebook Live PPIM, Insin lalu menuduh banyak polis dan tentera tidak solat.
Bagaimanapun, Asri Janggut dalam satu rakaman video kelmarin mengakui kesilapannya, berjanji tidak akan menyentuh atau mengulas sebarang perkara yang berkaitan dengan dua pihak berkuasa itu pada masa depan.
Dalam pada itu, Tok Ki berkata, pihaknya sudah memberi nasihat kepada Asri Janggut untuk tidak mengeluarkan lagi kenyataan selepas ini bagi meredakan keadaan.
Sementara itu, Tok Ki juga juga berharap supaya pihak berkuasa tempatan (PBT) dapat memberikan lesen kepada peniaga jalanan daripada menghukum mereka.
“Lebih baik lesenkan peniaga jalanan ini daripada balas dendam. Mereka ini juga orang kita dan rata-ratanya tidak kaya.
“Yang patut diberi fokus ialah pusat-pusat judi haram, bukan mereka ini,” ujarnya.-MT