PENGHAYATAN atau pengertian pada bendera Malaysia yang kini dikenali sebagai Jalur Gemilang semestinya tidak sama pada setiap individu.
Bagi Fauzi Ismail, 60, penduduk Kampung Baru, Kuala Lumpur, tidak ada harta yang lebih bernilai daripada ahli keluarganya selain memiliki lembaran kain empat warna itu.
Bendera padanya adalah simbol terpenting yang menjadi terjemahan nilai jati diri seseorang sebagai rakyat serta ketaatan kepada negara dan pemimpin.
“Setiap tahun bila masuk bulan Merdeka, saya mesti gantung bendera, tambah lagi yang sedia ada dan ganti yang mana sudah lusuh.
“Ada duit atau tidak saya tetap beli bendera. Duit boleh dicari, tapi kalau mati tak sempat sambut Merdeka saya akan rasa rugi,” ujar.

Pemilik gerai makanan yang terletak di Jalan Raja Uda, Kampung Baru itu ditemui Malakat Tribune ketika sedang memasang bendera di gerai dan halaman rumahnya.
Setiap tahun katanya, dia tidak pernah lupa pada tanggungjawab mengibarkan bendera walaupun terpaksa berbelanja ‘lebih’ untuk tujuan itu.
“Alhamdulillah masih ada rezeki untuk saya beli dan pasang bendera di rumah. Biasanya saya mula beli dan gantung bendera pada pertengahan bulan tujuh,” katanya.
Fauzi yang ditemani tiga orang cucu ditemui ketika memasang bendera di atas sebatang pokok mengkudu di belakang gerai miliknya .
Bagi dirinya, kesedaran mengibar bendera adalah sebagai perlambangan kita rakyat Malaysia yang tidak lagi bergantung hidup kepada orang lain.
“Kita kena semangat kerana kita sudah hidup sendiri. Jadi untuk tunjukkan semangat itu kita kenalah gantung bendera,” katanya.
Bagaimanapun katanya, segelintir masyarakat terutama generasi muda hari ini tidak lagi menghargai bendera dan penghayatan mereka sama sekali tidak sama dengan generasi terdahulu.
Sedangkan katanya, bendera mengajar rakyat erti taat setia kepada negara dan raja.
“Orang sekarang ada yang tidak tahu ada berapa warna, berapa jalur dan apa erti atau simbolik pada bendera.
“Lihat juga sekarang siapa yang hormatkan pemerintah? Agong pun dicaci dihina. Ini kerana kita dah hilang semangat kenegaraan.
“Kalau tak ada semangat awak wartawan pun tak mahu buat cerita pasal bendera, betul tak,” soalnya berseloroh.

Bendera juga katanya, harus menjadi alat yang dapat menguatkan perpaduan dan dikibar oleh masyarakat pelbagai kaum.
Justeru itu katanya, kerajaan melalui Kementerian Pelancongan sepatutnya menyemarakkan sambutan Bulan Kemerdekaan dengan menghias premis kerajaan, jalan raya, tempat tumpuan orang ramai dengan Jalur Gemilang.
“Kalau boleh wajibkan amalan gantung bendera ini. Walaupun secara paksa, lama kelamaan ia akan menjadi budaya.
“Biar rakyat dan pelancong sedar tentang sambutan ini. Jangan dibiarkan sendu tanpa semangat,” katanya.
