Virus super-spreader dari Mesir dan Pakistan mungkin punca kluster Sivagangga

0
557
Datuk Dr. Noor Hisham

CYBERJAYA – Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan wabak Covid-19 yang melibatkan kluster Sivagangga berasal daripada virus “super-spreader”.

Beliau berkata, buat masa ini pihaknya masih melakukan kajian terhadap kluster super-spreader yang dikesan berasal dari Mesir dan Pakistan.

“Apa yang kita lihat kluster Sivagangga merebak dengan cepat sekali jika nak dibandingkan dengan sembilan kluster lain yang ada di Sarawak dan sebagainya.

“Kajian sedang dijalankan sama ada kita sedang menghadapi kluster ‘super spreader’. Dimaklumkan kepada kementerian ia datang dari Mesir dan Pakistan. Besar kemungkinan ini mungkin kluster ‘super-spreader’,” katanya dalam sidang akbar hari ini.

Dr. Noor Hisham berkata, hari ini sahaja terdapat sebanyak enam kes baharu dilaporkan berkaitan kluster itu.

Beliau berkata, secara keseluruhan sebanyak 30 kes telah dikesan berkaitan dengan kluster itu.

Lebih membimbangkan, katanya, apabila satu kes di Kulim melibatkan kluster itu yang dilaporkan semalam puncanya masih dalam siasatan.

“Satu daripada enam kes baharu ini (iaitu kes ke-9032) mempunyai kontak rapat kepada ahli keluarga beliau yang pernah mengunjungi kedai makan yang terbabit dalam kluster ini.

“Kes mula mengalami gejala saluran pernafasan pada 2 Ogos lalu, kes kemudiannya dikesan positif Covid-19 semalam dan telah dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah. Ahli keluarga tersebut telah disaring dan masih menunggu keputusan.

“Lima kes baharu selebihnya pula terdiri daripada satu keluarga (iaitu kes ke-9033, 9034, 9035, 9036 dan 9037). Mereka mempunyai sejarah mengunjungi ke salah satu kawasan yang kini di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran di negeri Kedah,” katanya.

Beliau berkata, kesemua mereka telah dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah dan punca jangkitan dalam keluarga tersebut adalah masih di dalam siasatan.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here