4 tauke premis penyelenggaraan jentera berat dipercayai sebabkan pencemaran Sungai Gong ditahan polis

0
323
Premis yang sebabkan pencemaran sungai disita semalam

CYBERJAYA – Empat lelaki yang juga pemilik premis penyelenggaraan jentera berat yang dipercayai bertanggungjawab terhadap pencemaran Sungai Gong, Rawang ditahan polis, semalam.

Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin, kesemua suspek itu ditahan susulan tiga laporan polis yang diterima berhubung kejadian pencemaran bau di kawasan perindustrian tersebut.

“Keempat-empat suspek ditahan pada lewat malam tadi dan seorang daripada mereka hadir dengan peguam untuk membantu siasatan.

“Premis ini menyimpan jentera-jentera berat dan kadang-kala membaikinya.

“Kemungkinan minyak-minyak inilah yang disalurkan ke dalam sungai, namun ia masih dalam siasatan,” katanya seperti dipetik oleh Astro AWANI hari ini.

Mengulas lanjut, kesemua suspek ditahan merupakan adik-beradik yang berumur antara 50 hingga 60 tahun dan mewarisi syarikat itu daripada bapa mereka yang telah meninggal dunia.

Beliau berkata, berikutan itu, satu kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 430 Kanun Keseksaan.

Semalam, sebuah premis yang disyaki menjadi punca pencemaran bau sehingga menyebabkan empat Loji Rawatan Air (LRA) di Sungai Selangor diarahkan mengentikan operasi dan dikompaun serta-merta.

Premis berkenaan disyaki melepaskan bahan pelarut ke dalam Sungai Gong yang mengalir ke Sungai Sembah iaitu antara sungai utama bagi Sungai Selangor sehingga menyebabkan gangguan air di tujuh wilayah di Lembah Klang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here