417 kawasan gangguan bekalan air telah pulih

0
166

CYBERJAYA- Sebanyak 32.28 peratus atau 417 kawasan yang mengalami gangguan bekalan air telah pulih sepenuhnya.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor), Elina Baseri berkata, 875 kawasan lain masih dalam proses pemulihan.

Beliau berkata, kawasan Kuala Langat dan Kuala Lumpur yang mengalami gangguan bekalan air akibat pencemaran bau belum pulih sepenuhnya.

“Jumlah yang dilaporkan pulih meliputi keseluruhan 1,292 kawasan yang terbabit dengan gangguan bekalan air tidak berjadual.

“Peratusan pemulihan mengikut wilayah adalah Hulu Selangor 94.12 peratus, Kuala Selangor (91.7 peratus), Petaling (37.17 peratus), Gombak (11.31 peratus) dan Klang/Shah Alam (11.31 peratus). Namun, Kuala Langat dan Kuala Lumpur masih berada di tahap kosong peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Elina, usaha menstabilkan sistem agihan bekalan air sedang giat dilaksanakan untuk mempercepat proses pemulihan bekalan air ke kawasan yang masih terjejas.

“Kami memohon kerjasama pelanggan yang telah menerima bekalan supaya menggunakan air secara berhemah bagi memastikan proses pemulihan bagi kawasan masih terjejas berjalan lancar dan mengikut jadual pelan pemulihan.

“Air Selangor turut menyediakan pili awam dan Pusat Khidmat Setempat (PKS) bagi tujuan mendapatkan bekalan air bersih.

“Kami akan terus memaklumkan status terkini kepada para pengguna menerusi media massa dan semua medium komunikasi Air Selangor termasuk Twitter, Facebook, Instagram dan laman sesawang kami di www.airselangor.com,” katanya. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here