962,661 penduduk kena ‘lock down’ di 4 daerah di Sabah

0
310

Gambar hiasan

CYBERJAYA – Sebanyak empat daerah di Sabah akan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPDB) secara pentadbiran bermula tengah malam ini sehingga 12 Oktober ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu diambil selepas Kementerian Kesihatan (KKM) telah mengesahkan terdapat 1,195 kes positif jangkitan Covid-19 di daerah Lahad Datu, Tawau, Kunak dan Semporna dalam tempoh 1 September hingga semalam.

Beliau berkata, daripada jumlah itu Lahad Datu merekodkan 241 kes, Tawau (634 kes), Kunak (65 kes) dan Semporna (255 kes).

“PKPDB secara pentadbiran ini akan berkuatkuasa mulai 12.01 tengah malam ini, 29 September 2020 sehingga 12 Oktober 2020 dan akan melibatkan seramai 962,661 orang penduduk.

“Pelaksanaan PKPDB ini bagi membendung jangkitan dan penularan Covid-19 dalam daerah tersebut serta membolehkan aktiviti pengesanan kes secara bersasar dilaksanakan sepanjang tempoh 14 hari,” katanya dalam satu kenyataan hari ini

Menurut Ismail Sabri, dengan pelaksanaan perintah itu semua penduduk tidak dibenarkan keluar dari kawasan PKPDB sepanjang tempoh perintah dikuatkuasakan.

Beliau berkata, bukan penduduk dan pelawat tidak dibenarkan masuk ke empat daerah terlibat sepanjang tempoh perintah dikuatkuasakan.

“Semua aktiviti perniagaan dihentikan kecuali premis barangan keperluan dan perkhidmatan di empat daerah terlibat.

“Pengkalan Perubatan (Medical Base) akan dibuka di kawasan PKPDB. Semua laluan keluar masuk kawasan PKPDB ditutup.

“Bagi memastikan pematuhan perintah ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Pihak Berkuasa Tempatan dan pegawai yang diberi kuasa, akan mengawal seluruh kawasan terlibat,” katanya.

Sementara itu, beliau meminta semua penduduk untuk bertenang dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada petugas-petugas daripada KKM serta mematuhi semua arahan pihak berkuasa.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here