Anwar tidak popular, punca tak boleh jadi PM

0
288

SHAH ALAM – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendedahkan bahawa Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak layak menjadi calon Perdana Menteri bagi mewakili kerajaan Pakatan Harapan (PH) Plus.

Menurut Perdana Menteri ketujuh itu, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson tidak popular dalam kalangan orang Melayu, selain menyifatkan sokongan tersebut penting untuk mana-mana parti untuk menang dalam pilihan raya.

“Ya, dia tidak begitu popular dengan orang Melayu. Sekarang, telah ditunjukkan bahawa sokongan orang Melayu sangat penting bagi mana-mana parti untuk memenangi pilihan raya.

“Kerana dia tidak popular, sebagai pemimpin parti berbilang kaum, dia memerlukan seseorang yang menjadi pemimpin orang Melayu untuk memenangi pilihan raya ini.

“Dengan diri saya sebagai calon Perdana Menteri, saya rasa kita akan mendapat sokongan orang Melayu,” kata Dr. Mahathir melalui wawancara CNBC dipetik Sinar Harian hari ini.

Dr. Mahathir mengatakan perkara itu ketika ditanya mengapa beliau tidak akan menyerahkan jawatan pemimpin negara kepada Anwar walaupun mengatakan sebaliknya pada tahun 2019.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, Anwar gagal untuk mendapat sokongan Melayu dalam tiga pilihan raya sebelum ini.

Anwar juga jelas beliau, tidak boleh mencalonkan dirinya ketika itu kerana masih berada di dalam penjara.

Anwar dipenjara pada 2015 atas kesalahan meliwat dan dibebaskan pada 16 Mei 2018 selepas memperoleh pengampunan diraja daripada Yang di-Pertuan Agong.

“Ketika saya memimpin parti pembangkang, kita berjaya menang dan ini merupakan pencapaian kerana untuk tempoh 60 tahun, Malaysia dipimpin oleh kerajaan daripada parti yang sama.

Dr Mahathir dan penyokong Anwar kini terlibat dalam konflik yang dilihat akan terus berpanjangan dalam isu pemilihan calon Perdana Menteri Pakatan Harapan (PH) Plus.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here