APMM tahan bot nelayan Vietnam bertindak agresif

0
83

KUDAT – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kudat menahan sebuah bot nelayan Vietnam yang bertindak agresif melanggar bot peronda APMM di perairan Pulau Malawali pada Sabtu lepas.

Pengarah Zon Maritim Kudat Komander Maritim, Boon Chin Chau berkata, penahanan bot tanpa nombor pendaftaran dalam operasi Op Pluto Timur itu dibuat selepas tidak memberi kerjasama ketika pemeriksaan.

Boon berkata, pemeriksaan mendapati bot dikendalikan seorang tekong dan tujuh awak-awak warganegara Vietnam berumur antara 22 dan 53 tahun termasuk lima yang tidak mempunyai sebarang dokumen.

“Bot tersebut juga mempunyai hasil tangkapan balat basah dianggarkan seberat 200 kilogram selain membawa muatan 6,000 liter minyak diesel. Jumlah keseluruhan rampasan bernilai RM500,000,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Boon berkata, bot yang ditahan pada 7.30 pagi itu kemudian dibawa ke jeti awam Kudat.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 15 (1)(a) Akta Perikanan 1985, Seksyen 6(1)( c ) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here