ATM gagalkan cubaan PATI tembusi sempadan negara

0
386
GAMBAR IHSAN ATM

CYBERJAYA – Pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berjaya menggagalkan cubaan 21 pendatang asing tanpa izin (PATI) daripada membolosi sempadan negara di Tanjung Lompat, Johor, pagi tadi.

Menurut Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Divisyen) dalam satu kenyataan, turut ditahan dalam operasi tersebut, empat lelaki yang dipercayai bertindak sebagai tekong.

Kawasan tersebut merupakan lokasi Op Benteng yang dipertanggungjawabkan ke atas Briged Ketujuh Infantri Malaysia (7 Briged) oleh Pasukan Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (1 RRD).

“Bertindak hasil maklumat risikan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pantauan radar kenderaan Gempita yang dioperasikan oleh Rejimen Kedua Kor Armor Diraja (2 KAD), dua buah bot yang mencurigakan berjaya dikesan pada sekitar pukul 4.45 pagi.

“Susulan itu, satu serbuan oleh pasukan 1 RRD dengan bantuan PDRM, berjaya menahan sebuah bot yang dinaiki 21 orang disyaki PATI bersama empat individu dipercayai bertindak sebagai tekong laut,” kata kenyataan itu.

Kata kenyataan itu lagi, 17 daripada PATI yang ditahan dipercayai sedang cuba untuk pulang ke negara asal, manakala empat lagi dipercayai baharu sahaja tiba.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here