Bebaskah umat Islam daripada penjajahan?

0
73

CYBERJAYA – Pengertian sebenar kebebasan dan kemerdekaan bagi umat Islam adalah apabila mereka dapat melaksanakan perintah Allah tanpa sebarang bentuk kekangan dan larangan.

Timbalan Mufti Perak, Datuk Haji Zamri Hashim berkata, umat Islam di negara ini perlu menilai erti sebuah kebebasan secara lebih mendalam iaitu dari perspektif agama.

Justeru katanya, nikmat bebas daripada penjajahan dan campur tangan luar adalah batu loncatan untuk mencapai kemerdekaan hakiki iaitu kebebasan melaksanakan tuntutan Allah SWT.

“Selagi mana manusia itu masih belum benar-benar bebas melakukan perintah Allah, bermakna ia masih terjajah, paling tidak pun ia terjajah oleh nafsunya.

“Begitulah juga bagi sebuah masyarakat dan negara, selagi mana gagal melaksanakan perintah Allah seluruhnya, maka ia masih terjajah walaupun penjajah mungkin sudah keluar dari negara ini,” katanya melalui tulisannya di portal Ismaweb.

Pengerusi Majlis Ulama ISMA (MUIS) itu berkata, selagi mana umat Islam tidak benar-benar menghayati kebebasan dan kemerdekaan yang digariskan oleh agama itu sendiri, selagi itulah mereka akan tewas dalam penjajahan.

Bahkan katanya, cabaran dalam mempertahankan kemerdekaan dan kedaulatan negara pada masa kini teruji dan tercabar dengan bermacam-macam ujian yang tidak sepatutnya berlaku seperti pemasangan bendera secara terbalik, penghinaan jata negara dan pertikaian Bahasa Melayu.

“Lawan kemerdekaan adalah penjajahan. Awaslah bahawa kiranya kita masih terjajah dari sudut pemikiran kita, apabila kita tidak benar-benar menghayati kebebasan dan kemerdekaan yang digariskan oleh Islam itu sendiri.

“Mudah-mudahan Allah SWT memelihara negara Malaysia yang tercinta ini, dan moga-moga seluruh rakyatnya hidup bersatu padu dan aman harmoni, serta sama-sama menjunjung Perlembagaan negara kita,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here