Covid-19: 90 Kes baharu dikesan di Sabah

0
134

CYBERJAYA – Jumlah penularan wabak Covid-19 di Sabah terus melonjak dengan 90 kes positif baharu dan satu kematian semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, 90 kes daripada 95 kes positif yang dikesan dikesan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) adalah kes di Sabah membabitkan 68 rakyat tempatan dan 23 warga asing.

“Sebanyak 76 kes dikesan dalam saringan Kluster Benteng LD termasuk 20 warga asing.

“KKM turut mengesan empat kes daripada Kluster Pulau dan tiga kes dari kalangan Kluster Selamat,” katanya dalam kenyataan berkaitan perkembangan Covid-19 hari ini.

Dr. Noor Hisham berkata, kes kematian melibatkan warga asing itu dikesan sebagai pesakit Covid-19 selepas saringan di Hospital Semporna.

Katanya, mangsa merupakan seorang wanita warga Filipina yang mula bergejala pada 14 September lalu.

“Dia mengalami batuk dan sesak nafas sebelum mendapatkan rawatan di pusat perubatan dan dirujuk ke Hospital Semporna.

“Bagaimanapun wanita berkenaan tidak pergi ke Hospital Semporna berikutan kekangan yang dihadapi.

“Dia ditemui tidak sedarkan diri dan dibawa ke Hospital Semporna, sebelum disahkan meninggal dunia pada hari sama,” katanya.

Katanya, kes itu menjadikan jumlah kematian akibat wabak Covid-19 di negara ini meningkat kepada 129 orang.

“Pertambahan kes baharu itu menjadikan jumlah keseluruhan kes positif meningkat kepada 10,147 kes dengan 754 kes aktif,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here