Covid-19 : Kedah Medical Centre ditutup tiga hari

0
369

ALOR SETAR – Kedah Medical Centre (KMC) mengumumkan penutupan perkhidmatan pesakit luar dan dalam selama tiga hari bermula hari ini bagi menjalankan kerja-kerja sanitasi dan pembersihan ekoran kes Covid-19 di hospital berkenaan.

Pengarah Perubatannya, Datuk Dr. Kamaruzzaman Ali dalam kenyataannya berkata, penutupan kecuali bahagian Kemalangan dan Kecemasan (A&E) itu dilakukan selepas mengadakan pertemuan dengan pihak berkuasa kesihatan negeri.

“Langkah itu diambil untuk membolehkan kami menjalankan pembersihan secara menyeluruh. Pesakit yang memerlukan rawatan lanjut akan dirujuk ke hospital Pakar KPJ Pulau Pinang atau Hospital Pakar KPJ Perlis,” katanya.

Menurut Dr. Kamaruzzaman, setakat semalam sebanyak 18 kakitangan hospital itu dan tujuh orang ahli keluarga disahkan positif Covid-19 manakala 619 pekerja telah menjalani ujian saringan.

Katanya, KMC juga telah melakukan pengesanan dan mengenal pasti kontak rapat kakitangan termasuk melakukan ujian antigen dan PCR kepada 44 orang pesakit di hospital berkenaan.

Sementara itu, pihak KMC turut melakukan ‘environmental swab’ di 50 kawasan hospital dengan semua kawasan yang dikunjungi staf dan pesakit segera dibasmi kuman mengikut garis panduan kawalan jangkitan Kementerian Kesihatan (KKM).

Dr. Kamaruzzaman berkata, KMC telah membuat tindakan pencegahan dan mempunyai prosedur operasi standard (SOP) yang ketat serta bekerjasama dengan pegawai kesihatan awam dan KKM untuk memastikan semua pesakit mendapat rawatan terbaik.

“Operasi keseluruhan akan dibuka semula pada 13 September dan pesakit boleh meneruskan rawatan seperti biasa di hospital ini,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here