Covid-19: Kita balik ke petak mula?

0
88
Gambar hiasan.

SELEPAS kira-kira lapan bulan menyerang, Covid-19 sudah meragut nyawa kira-kira setengah juta manusia di seluruh dunia dan ia masih tidak menunjukkan tanda-tanda mahu reda.

Di negara ini, kerja keras pasukan barisan hadapan negara memerangi virus maut itu seakan-akan ‘tewas’ minggu lalu gara-gara perebutan kuasa di Sabah.

Namun bak mesej yang sentiasa bermain di bibir ahli-ahli politik, sistem demokrasi negara perlu dipertahan dan dipraktikkan.

Penulis faham sedikit mengenai politik tetapi tetap sebulat hati dengan rakyat yang marah apabila pemimpin-pemimpin politik dilihat tidak menghiraukan ancaman Covid-19.

Sebutlah apa nama kluster yang ada di Sabah, Benteng LD, Bangau-Bangau, Laut, Pulau, Selamat, Bakau, Kuarters dan Udin. Semasa berkempen mereka buat tak tahu sahaja.

Kesannya sudah mula terasa dengan peningkatan mencecah ratusan kes di beberapa daerah di negeri itu malah sudah menular ke Semenanjung Malaysia.

Situasi ini sudah tentu merungsingkan. Walaupun ramai beranggapan kerajaan tidak akan sewenang-wenangnya melaksanakan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ia sebenarnya tidak mustahil.

Apa lagi jalan penyelesaian yang mampu dilakukan sekiranya penularan wabak ini sudah tidak lagi terkawal? Sudah tentu PKP sekali lagi.

Lihat sahaja penularan kes positif baharu yang dikesan di pusat beli-belah, klinik, masjid dan sekolah di seluruh negara sekarang. Semuanya berkait dengan individu yang pulang dari Sabah.

Lebih menyeramkan semalam, kerajaan mengumumkan mereka yang dikesan negatif dalam ujian saringan pulang dari Sabah tidak diwajibkan menjalani kuarantin.

Walhal kita semua tahu mengenai tempoh 14 hari untuk Covid-19 menunjukkan gejala. Dalam kata lain, tidak bergejala tidak semestinya bebas Covid-19.

Ambil iktibar daripada apa yang berlaku di Banyumas, Jawa Tengah apabila pakar perubatan Indonesia baru-baru ini dikejutkan dengan tiga kematian yang dikenal pasti sebagai gejala baharu Covid-19 iaitu, Happy Hypoxia.

Happy Hypoxia adalah keadaan yang mana mereka yang dijangkiti Covid-19 tidak menunjukkan sebarang tanda wabak dan hanya diketahui positif selepas kematian.

Gejala Happy Hypoxia menyebabkan penurunan kadar oksigen di dalam paru-paru sehingga paras bawah 50 peratus berbanding paras normal, 95 hingga 100 peratus.

Golongan seperti ini sebenarnya lebih berbahaya kerana mereka bukan sahaja berdepan dengan maut secara senyap tetapi berisiko menjangkiti ramai orang.

Justeru penulis merasakan mereka yang keluar masuk dari Sabah, dalam apa cara sekalipun perlu dipastikan tidak akan meletakkan orang lain dalam risiko Covid-19.

Dan pemimpin-pemimpin parti politik seharusnya meletakkan sempadan yang ‘solid’ antara kepentingan politik dengan keselamatan rakyat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here